Monday 14 November 2011

Catatan Perjalanan Haji 2011 dari Jeddah

Dengan keizinan Allah SWT jua, saya bersama isteri telah selamat menunaikan ibadah haji dan kembali semula ke rumah kediaman NPC Al-Lith, selatan Jeddah pada hari Jumaat 11hb November lebih kurang pukul 6.15 ptg. Sehari sebelumnya (khamis) kami telah singgah di rumah tuan haji Zarir di Jeddah untuk bermalam dan meraikan tetamu yang sama-sama mengerjakan haji dan sedang menunggu penerbangan ke Jubail dari Jeddah pada pukul 10.00 mlm dengan Saudi Airlines.
Ini merupakan pengalaman kali pertama mengerjakan haji selepas setahun lebih bekerja dan menetap di Jeddah. Kami datang bersama rombongan rakyat Malaysia seramai 180 orang yang bekerja di Jubail dan Riyadh di bawah bimbingan ustaz Dr Hassan Kadir. Kesemua rombongan datang ke Mina dengan 4 buah bas. Rombongan dari Jeddah hanya seramai 15 orang dan bergabung dengan sebahagian jemaah haji dari Jubail yang datang dengan kapalterbang.
Berikut adalah catatan perjalanan haji bermula dari meninggalkan rumah di Al-Lith pada pukul 8 malam hari Rabu 2hb November sehingga kembali semula pada pukul 6.15 ptg hari Jumaat 11 November 2011.
Rabu 2hb November 2011 (6 Zulhijjah 1432)
Bertolak dari rumah kediaman di Al-Lith pada pukul 8 mlm bersama isteri dan seorang lagi rakan sekerja tuan haji Zuraimi Isa. Tiba di rumah tuan haji Zarir pada pukul 10 mlm. Seterusnya bertolak ke rumah tuan haji Ariffin Mamat dan meletakkan kereta di sana. Sampai di lapangan terbang Saudi airlines pada pukul 12 mlm untuk menunggu kedatangan rombongan dari Jubail.
Saat ketika akan bertolak dari Al-Lith

Ketika berada di rumah Tn Hj Zarir di Jeddah

Ketika berada di rumah Tn Hj Ariffin bersama Zuraimi dan Mohd Zarir

Khamis 3hb November 2011 (7 Zulhijjah 1432)
Bertolak dari lapangan terbang Saudi airlines bersama rombongan dari Jubail dalam satu bas pada pukul 12.30 pagi dan sampai di Kudai carpark pada pukul 3 pagi. Seterusnya berjalan kaki ke masjidil haram sepanjang 2 kilometer dan memulakan tawaf qudum sebelum solat subuh diikuti dengan Saie haji yang berakhir pada pukul 8 pagi. Singgah di restoren D’saji untuk sarapan pagi sebelum berjalan kaki semula ke Kudai carpark.
Rombongan haji rakyat Malaysia dari Saudi Arabia dibawah bimbingan ustaz Dr Hassan Kadir

Melakukan Tawaf Qudum setibanya di Mekah bersama jemaah haji yang lain

Melakukan rukun Saie Haji selepas habis tawaf Qudum

Bertolak dari Kudai carpark pukul 10 pagi dan sampai di perkhemahan Mina (Zon 17/714) sebelum solat Zuhur. Sementara itu 3 buah bas lagi yang datang terus dari Jubail dan Riyadh hanya sampai di khemah pada waktu petang dan malam. Ketika ini semua jemaah haji sama ada yang datang dari jauh dan dekat  (penduduk Mekah) disunatkan untuk sembahyang qasar tanpa jamak mengikut sunat rasulullah.
Di hadapan perkhemahan 'Tawa'if' di Mina (Zon 17/714)

Pemandangan didalam khemah dengan carpet dan kusyen alas tidur

Berehat sebentar setibanya di khemah dari Mekah

Jumaat 4hb November 2011 (8 Zulhijjah 1432)
Hari ini merupakan hari Tarwiyah iaitu hari di mana rasulullah mengumpul air dan membuat persiapan haji sementara menunggu wukuf di Arafah esok harinya. Pada hari ini kebanyakan jemaah meneruskan amal ibadat harian seperti membaca Al-Quran, bertahlil, sembahyang sunat dan berdoa. Bagi jemaah yang tiada khemah penempatan di Mina, mereka akan sibuk mendirikan khemah di kawasan jalanraya yang telah ditutup oleh pihak berkuasa tempatan. Para peniaga juga akan sibuk mendirikan tapak perniagaan masing-masing di tepi jalanraya.
Pemandangan di hadapan perkhemahan 'Tawa'if' dengan laluan tren LRT

Di jalan besar menuju ke jamrah yang digunakan untuk khemah sementara dan peniaga

Perkhemahan sementara di tepi jalan di Mina dan peniaga sambilan

 Sabtu 5hb November 2011 (9 Zulhijjah 1432)
Mula bergerak dari khemah masing-masing seawal 2.30 pagi menuju ke stesen LRT ‘Mina1’. Tiket tren selama seminggu untuk berulang alik antara Mina-Muzdalifah- Arafah adalah kemudahan yang disediakan di dalam pakej kami. Kami mengambil masa hampir dua jam untuk sampai ke stesen LRT yang jauhnya hanya 300 meter di sebabkan terlalu ramai jemaah haji dari khemah berdekatan yang bergerak secara serentak. Kebanyakan jemaah bergerak di awal pagi.
Berkumpul di hadapan kem 17/714 pada pukul 2.30 pagi

Keadaan jemaah yang tiada khemah dan tidur di tepi jalan (pukul 2.30 pagi)

Bergerak ke stesen LRT untuk menuju ke Arafah mengikut kumpulan masing-masing

Sampai di khemah di Arafah (berdekatan dengan stesen LRT ‘Arafah1’) sebelum subuh. Waktu Wukuf bermula dari zuhur sehingga maghrib. Waktu ini adalah paling mustajab untuk kita berdoa kepada Allah memohon ampun di atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan sama ada dosa besar atau dosa kecil. Wukuf di Arafah adalah salah satu rukun haji yang mesti ditunaikan.
Di dalam khemah 'Tawa'if' di Arafah selepas sampai sebelum waktu subuh

Setesen LRT 'Muzdalifah1' di hadapan khemah Tawa'if di waktu pagi

Di hadapan khemah Tawa'if di Arafah berdekatan stesen LRT

Selepas masuk waktu maghrib, para jemaah haji berkumpul semula untuk menaiki tren dari stesen LRT ‘Arafah1’ menuju ke stesen ‘Muzdalifah1’ dan seterusnya berjalan kaki sejauh 3 km untuk sampai ke khemah di Mina iaitu lebih kurang pukul 11.00 mlm. Mengikut sunnah rasulullah, solat maghrib dan isyak hendaklah dibuat secara jamak ta’khir setibanya di Muzdalifah nanti.
Berkumpul di hadapan stesen LRT muzdalifah1 setibanya dari stesen Arafah1

Berjalan kaki dari stesen Muzdalifah1 ke Mina sejauh 3km secara berkumpulan

Selepas berehat sebentar, kami menuju ke Muzdalifah dengan berjalan kaki untuk sembahyang jamak ta’khir maghrib dan isyak dan seterusnya mabit (bermalam) di Muzdalifah, cukup hanya beberapa minit sahaja selepas tengah malam. Di sunatkan juga untuk mengutip batu sekurang-kurangnya 7 biji untuk tujuan melontar jamrah Aqabah esok harinya. Selepas berada di Muzdalifah untuk beberapa jam, kami bergerak semula ke khemah di Mina untuk berehat sementara menunggu waktu subuh.
Pemandangan di dalam perkhemahan Tawa'if di Arafah

Di hadapan perkhemahan Tawa'if di Mina di waktu malam

Ahad 6hb November 2011 (10 Zulhijjah 1432)
10hb Zulhijjah adalah hari raya Qurban (hari Nahar) yang mana aktiviti penyembelihan kambing untuk Qurban dan dam haji dilakukan pada hari ini. Selepas tengah malam 9hb Zulhijjah atau awal pagi 10hb Zulhijjah, maka bermulalah waktu untuk melontar jamrah aqabah dan tawaf ifadah. Namun, masa yang paling afdal untuk melontar jamrah aqabah ialah selepas waktu Doha di siang hari manakala tawaf ifadah boleh dilewatkan sehingga selesai nafar thani.
Bergerak ke stesen LRT untuk menuju ke jamrah seawal pukul 9 pagi

Lautan jemaah haji menuju ke jamrah Aqabah untuk melontar

Kami bergerak ke stesen LRT ‘Mina1’ untuk ke jamrah yang berdekatan dengan stesen ‘Mina3’ pada pukul 9 pagi dan sampai di stesen ‘Mina3’ setengah jam kemudian. Seterusnya berjalan kaki menuju ke kawasan jamrah sejauh hampir 1km dari stesen ‘Mina3’. Selepas melontar jamrah aqabah, saya bersama beberapa rakan terus ke kedai gunting (barber shop) yang berdekatan untuk bercukur dengan kadar 50 rial satu kepala, harga yang agak keterlaluan. Setelah bercukur, jemaah haji berada dalam keadaan tahalul awal dan boleh menanggalkan ihram dan terlepas sebahagian daripada pantang larang dalam ihram.
Di hadapan jamrah Aqaba (Kubra pada hari Tasyrik)

Jemaah haji menunggu giliran untuk melontar jamrah Aqaba

Berdoa selepas melontar jamrah Aqaba

Sebahagian daripada kumpulan kami meneruskan perjalanan ke Baitullah (Mekah) untuk mengerjakan tawaf ifadah. Setelah selesai tawaf ifadah, maka jemaah haji berada dalam keadaan tahalul thani dan telah menyempurnakan semua rukun haji dan bebas kesemua pantang larang dalam ihram.
Bersama rakan jemaah haji selepas melontar jamrah aqabah

Berkumpul selepas melontar sebelum kembali ke stesen LRT

Berkumpul selepas melontar menghadap Jamrah Aqaba

Sebelah malamnya pula, para jemaah dikehendaki bermalam atau mabit di Mina pada sebahagian malam bermula dari waktu maghrib sehingga terbit fajar esok harinya. Sekiranya waktu malam 10 jam maka jemaah haji hendaklah berada di Mina sekurang-kurangnya 5 jam.
Jemaah haji menuju ke Mekah (Baitullah) untuk Tawaf Ifadah

Bercukur (Tahalul awal) selepas habis melontar jamrah aqabah

Bersama Haji Zuraimi selepas bertahalul awal

Isnin 7hb November 2011 (11 Zulhijjah 1432)
Untuk 3 hari seterusnya ialah hari tasyrik bermula dari 11hb Zulhj (7 Nov) sehingga 13hb Zulhj (9 Nov). Pekerjaaan haji dalam hari tasyrik ini ialah melontar 3 jamrah (Ula, Wusta dan Kubra) dan bermalam (mabit) pada sebahagian malam di Mina. Waktu melontar selepas gelincir matahari (zuhur) hingga subuh esok harinya kecuali hari yang ketiga sehingga sebelum waktu maghrib.
Suasana di khemah pada hari pertama Tasyrik - 11 Zulhijjah

Pemandangan di dalam khemah lelaki

Pemandangan di khemah perempuan

Pada sebelah pagi kami mengambil kesempatan untuk mengumpul 63 biji batu yang dikutip di kawasan Mina untuk tujuan melontar pada hari kedua dan ketiga nanti. Setiap hari memerlukan 21 biji batu untuk melontar 3 jamrah (Ula, Wusta dan Kubra)
Mengutip 63 biji batu di Mina untuk lontaran selama 3 hari

Hanya batu bersaiz kecil sahaja perlu dikumpulkan dan dibersihkan sebelum melontar

 Kami melontar jamrah selepas waktu asar dan kembali semula ke Mina dengan tren LRT. Semasa mabit di Mina, kebanyakan jemaah haji akan melakukan ibadat sembahyang sunat, membaca Al-Quran, berdoa berzikir dan bertahlil.
Pemandangan dari atas jambatan menuju ke jamrah

Lautan manusia menuju ke kawasan jamrah untuk melontar

Menuju ke stesen LRT selepas selesai melontar 3 jamrah

Selepas selesai melontar tiga jamrah hari yang pertama

Selasa 8 November 2011 (12 Zulhijjah 1432)
Hari kedua Tasyrik (12 zulhijjah) mengulangi pekerjaan melontar 3 jamrah dan mabit di malam harinya. Untuk pekerjaan melontar, setiap lontaran dengan 7 biji batu menjadikan 21 biji lontaran dalam sehari.
Keadaan agak lengang pada waktu malam hari yang kedua

Suasana Mekah pada waktu malam 12 Zulhijjah
Kami melontar selepas waktu maghrib kerana suasana agak lapang sedikit pada waktu malam selepas sebahagian dari jemaah haji meninggalkan Mina sebelum maghrib untuk nafar awal. 
Di hadapan salah satu jamrah pada hari kedua Tasyrik

Pemandangan yang agak lengang dikawasan jamrah pada waktu malam

Kepada para jemaah haji yang memilih untuk nafar awal, mestilah meninggalkan Mina sebelum waktu maghrib dan ianya dibenarkan dalam amalan haji. Salah satu daripada hikmat nafar awal ini ialah untuk mengurangkan kesesakan semasa tawaf ifadah di Baitullah.

Jamrah Ula (Small jamrah) 
Jamrah Wusta (Middle Jamrah)
Jamrah Kubra (Big jamrah)

Rabu 8hb November 2011 (13 Zulhijjah 1432)
Hari ketiga Tasyrik, mengulangi pekerjaan melontar 3 jamrah yang berakhir sebelum waktu maghrib. Jemaah haji hendaklah meninggalkan Mina selepas masuk waktu maghrib dan ini dikenali sebagai nafar thani dalam pekerjaan haji.
Pemandangan dari atas jambatan pada hari ketiga Tasyrik (13 Zulhijjah) 
Menuju ke jamrah dengan tren dari Mina

Selepas selesai melontar jamrah pada hari ketiga Tasyrik

Kami telah sampai ke jamrah sebelum waktu zuhur dan melakukan ibadah melontar sebaik sahaja masuk waktu zuhur dan seterusnya pulang ke khemah di Mina sebelum pukul 3 petang.
Pemandangan di dalam perkhemahan wanita semasa berkemas

Sebahagian dari jemaah wanita sedang berkemas

Selepas sampai di khemah, kami menikmati makan tengahari sebelum berkemas sebagai persiapan akhir untuk meninggalkan Mina dan menuju ke Mekah. 
Sebahagian dari jemaah lelaki dalam rombongan kami
Bersama kapten Shaha, Ustaz Dr Hassan Kadir dan Muhammad Zarir
Kami bertolak dari Mina dengan bas pada pukul 7 petang dan sampai di Mekah pada pukul 10 mlm dan terus melakukan tawaf ifadah dan wada dalam satu pekerjaaan. Pada ketika ini lautan jemaah haji sedang mengeliling baitullah dengan satu tujuan untuk menyempurnakan ibadat haji. Pergerakan yang amat perlahan menyebabkan habis tawaf pada pukul 12.30 pagi.
Selepas melakukan Tawaf Ifadah dan Tawaf Wada' dalam satu pekerjaan

Lautan jemaah haji mengeliling Kaabah untuk Tawaf Ifadah dan Tawaf Wada'
 
Seterusnya bertolak ke Jeddah dengan menaiki bas pada pukul 2 pagi dan sampai di rumah tuan haji Zarir sebelum subuh. Jemaah haji dibahagikan kepada dua kumpulan, untuk bermalam di rumah tuan haji Zarir dan tuan haji Ariffin.
Jemaah wanita di tingkat atas di rumah Tn Hj Zarir

Jemaah lelaki di tingkat bawah di rumah Tn Hj Zarir

Khamis 9hb November 2011 (14 Zulhijjah 1432)
Jemaah haji dari Jubail berehat di rumah tuan haji Zarir dan tuan haji Ariffin sementara menunggu penerbangan ke Jubail pada pukul 10 malam. Hidangan tengahari telah disediakan dengan menu utama udang segar dari ladang NPC yang baru ditangkap pada awal pagi.
Tuan Haji Muhammad Zarir sedang melayani tetamu

Menu utama hidangan tengahari ialah Udang segar NPC

Saya bersama isteri dan tuan haji Zuraimi bertolak dari rumah tuan haji Zarir pada pukul 4 petang dan sampai di Al-Lith pada pukul 6.15 petang. Inilah catatan perjalanan haji Ifrad selama seminggu untuk kekal menjadi kenangan abadi sepanjang hayat.
Salam hormat dari Tuan Haji Zainal Hj Samsi dan Puan Hajjah Noraini Hj Surif dari Al-Lith, Saudi Arabia