Tuesday 5 July 2011

Tahlil dan Kenduri Arwah Bapa

Telah ditakdirkan pada kira-kira pukul 3.00 ptg 28 Jun 2011, arwah bapaku telah kembali ke rahmatullah akibat sakit tua. Kematiannya telah disahkan oleh jururawat desa yang kebetulan sampai ke rumah pada pukul 3.15 ptg untuk membuat pemeriksaan kesihatan berkala. Arwah selamat di kebumikan pada pukul 6.30 ptg hari yang sama.
Ketika meninggal, arwah berumur 88 tahun dan telah terlantar selama hampir enam bulan akibat sakit tua. Sepanjang tempoh tersebut jururawat desa sering datang ke rumah untuk membuat pemeriksaan kesihatan berkala. Arwah menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis sebelum meninggal dunia.
Aku mendapat berita tersebut pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan Saudi atau 3.30 ptg waktu Malaysia selepas habis mempengerusikan satu mesyuarat mingguan projek dan sedang dalam perjalanan ke pusat pengeluaran Nauplii. Aku terpaksa berpatah balik semula dan terus ke pejabat Human Resources untuk menguruskan tiket penerbangan balik ke Malaysia. 
Aku menaiki pesawat MAS untuk penerbangan balik pada pukul 6.15 petang waktu Saudi dan sampai ke KLIA pada pukul 9.00 pagi keesokan harinya, 29 Jun dan seterusnya sampai ke kampong di Batu Pahat, Johor pada pukul 2.00 ptg waktu tempatan.
Telah menjadi amalan tradisi penduduk kampong tahlil dan kenduri arwah akan di adakan di rumah keluarga si mati selama tujuh malam berturut-turut. Walaubagaimanapun tempoh kenduri tersebut telah dipendekan kepada hanya tiga malam sahaja sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh kesibukan tugas penduduk kampong. Juadah Nasi ambeng merupakan hidangan tradisional yang selalu dihidangkan dalam setiap majlis kenduri di kebanyakkan masyarakat keturunan Jawa di negeri Johor.
Kedatangan para jemaah terdiri dari orang kampong

Menikmati hidangan nasi Ambeng selepas bacaaan tahlil

Pak Imam akan menyempurnakan juadah terlebih dahulu

Baki yang tidak habis dimakan akan di bawa pulang sebagai "Berkat"

Pembahagian "Berkat" dengan bahagian yang sama rata

Nasi Ambeng dengan lauk ayam masak kicap dan sambal tempe goreng

Hidangan yang telah habis dimakan

Demikianlah kitaran sebuah kehidupan. Setiap yang hidup akan kembali semula menghadap penciptaNya apabila sampai masanya sebagaimana yang telah ditentukan sejak dari azali lagi. Hanya golongan yang beriman dan bertakwa sahaja akan mendapat pertolongan semasa di alam barzakh dan alam akhirat nanti.