Friday, 6 May 2011

Hidup dan Kehidupan

Hidup dan kehidupan. Itulah realiti dan konklusi, bukan ilusi dan imaginasi. Kenapa, mengapa dan untuk apa kita hidup. Bagaimana dan cara mana kehidupan kita? Kenapa kita perlu hidup dan kenapa perlu diteruskan kehidupan kita. Apakah perbezaan antara hidup dan kehidupan. Satu persoalan yang mudah untuk ditafsirkan tetapi amat sukar untuk diterjemahkan.
Cuba kita mencari jawapan secara rambang berkenaan persoalan hidup dan kehidupan.
Norani, seorang guru linguistik dengan bangganya berkata kehidupan adalah penambahan KE dan AN. Abang Ifin pula cepat mencelah “its all about live and life”. Marina seorang peguam lantas menjawab, hidup adalah defendan manakala kehidupan adalah plaintif.  Encik Zarir seorang Akitek pula berkias, hidup ibarat sebuah rumah manakala kehidupan adalah hiasan dalamannya. Manakala Kak Yati seorang pesara kerajaan berkata dengan tenang, kehidupan mesti diteruskan, walaupun sudah bersara. Tuan Nasir seorang akauntan hanya bersuara all the same, sambil menunjuk isyarat LIFO yang bermaksud, Live or Life is financial obligations. Puan Nets seorang usahawan pula menambah, hidup dah selesa tapi kehidupan hari-hari sama sahaja sedangkan belanja harian makin bertambah. Datuk Mazlan, bekas pengarah syarikat senarai awam hanya berkata “No big deal” tanpa memberi penjelasan lanjut.
Mari kita mencari jawapan dari sudut yang berbeza pula.
Nik Azizi akan berkata hidup di dunia ini hanya kesenangan dan permainan belaka, kampong akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya. Mahakader pula bermadah seloka, hidup tanpa kuasa ibarat kehidupan  yang tiada kesudahannya, walaupun kubur dah kata mari, dunia kata pergi. Najeebi pula lantang bersuara, hidup masih tak bahagia tanpa kehidupan yang slim-slim dan cun-cun belaka. Abdillah pula menjelaskan, hidup "zzzzz" dan kehidupan dah sempurna dah dengan seorang anak dan cucunya. Mohideen pula mengeluh, hidup belum bermakna tanpa kehidupan sebagai ketua perdana. Dr Khaer pula merungut dengan nada kesal, hidup mewah hanya sebentar cuma, kehidupan di penjara pula bakal dibina. Manakala Anuar hanya membalas, Tranforefomasi tanpa memberikan sebarang jawapan.
 Setiap individu yang ditemui telah memberikan pandangan yang berbeza. Setiap dari mereka telah memberikan persepsi dan impresi yang menjurus kepada keperluan dan intepretasi diri sendiri. So, now what's up mate?. Usah merasa risau dan tak perlu gundah gulana. Hidup biar sejagat manakala kehidupan adalah destinasi masing-masing.
Bagiku pula hidup dan kehidupan ibarat satu proses yang berterusan. Kita dilahirkan dan dibesarkan untuk hidup dan seterusnya berkerjaya untuk membina sebuah kehidupan. Ada keluarga yang sempurna dan sebuah rumah yang selesa sudah cukup untuk membina sebuah kehidupan, ibarat kitaran sepohon pokok kunyit bermula dengan selembar daun, membawa kepada dua helai, tiga helai dan seterusnya......

Dengan tanah yang subur, baja yang mencukupi dan tempat yang teduh, sepohon kunyit akan membesar dengan dedaunan yang semakin melebar dan hijau berkilau. Semakin tinggi pokok kunyit, ia memerlukan lebih air dan lebih baja. Apa akan terjadi sekiranya keperluannya tidak mencukup?. Ia akan kekuningan ibarat hidup segan, mati dah pasti......

Surah Al-Ankabut, Ayat 64 bermaksud,
"Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan kesenangan dan permainan belaka, dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui"
Seterusnya Surah Al-Qasash, Ayat 77 bermaksud,
"Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan"

Dan Surah Az-Zariyat, Ayat 56 bermaksud,

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahku"
Semuga menjadi pedoman dan renungan kita bersama. Wassalam.
P/S: Nama yang dikiaskan di atas adalah imaginasi penulis semata-mata, tiada berkaitan dengan sesiapa jua adanya.

Dah Lama Aku Bekerja Rupanya......

Januari 2011, maka genaplah dua puluh tahun pengalaman aku sebagai Jurutera Awam (Civil Engineer). Dalam tempoh tersebut aku telah menimba pengalaman bekerja di pejabat Konsultansi, pembinaan dan pengurusan projek dan perrnah bekerja di bawah ketua pelbagai bangsa dan warganegara. Aku pernah bekerja di bawah ketua berbangsa Melayu, Cina, Amerika, British, Syria, Iran, Thailand, Afrika Selatan, Australia dan Jerman. Masing-masing mempunyai stail, gaya dan kepakaran tersendiri. Secara keseluruhannya ketua berbangsa "Mat Salleh" lebih professional, manakala yang susah bekerja adalah ketua berbangsa Arab dan Malaysia. Ketua berbangsa Arab banyak mulut dan suka menyalahkan orang lain manakala ketua berbangsa "Malaysia" banyak prejudis dan agenda peribadi.

Sepanjang sepuluh tahun pertama, aku telah terlibat dalam kerja-kerja Infrastruktur berskala besar seperti Lebuhraya Utara Selatan, LRT Lembah Kelang, Jambatan Kedua penghubung Johor dan Singapapura, Bandaraya Nusa Jaya dan Hospital Sungai Buloh. Manakala dalam masa lima tahun kedua, aku telah berpeluang untuk terlibat dalam pembangunan rumah rakyat (Affordable Housing Program) di beberapa buah negara di Afrika. Sementara lima tahun yang kedua aku berpeluang bekerja di Timur tengah, iaitu di UAE dan Saudi Arabia.

Pejabat Di Saudia Arabia - Sekarang

Projek di Dubai & Abu Dhabi (UAE)

Projek Perumahan di Bangkok, Thailand 

Projek Perumahan di Ankara, Turki

Projek Perumahan di Benfica, Angola

Projek Perumahan Di Dakkar, Senegal

Pejabat Utama di The Mines, Seri Kembangan

Thursday, 5 May 2011

Aku Dah Tua Rupanya.....

Hari ini Khamis 5 Mei 2011, aku telah berada di pejabat terlebih awal memandangkan hari Khamis merupakan separuh hari bekerja. Selalunya dalam masa lima belas minit pertama aku akan menghalusi senarai semak (checklist) kerja-kerja yang perlu diselesaikan mengikut keutamaan (priority) dan kesegeraan (urgency). Selepas itu aku akan membuka akhbar dalam talian Arab News (Saudi) dan The Star (Malaysia) untuk tempoh 15 minit atau tidak melebihi pukul 8.30 pagi.

Memandangkan hari ini ialah hari ulang tahun kelahiranku yang ke 44, aku meluangkan sedikit masa untuk membaca mesej yang terpapar di FB. Terdapat 3 mesej ucapan hari lahir, pertama dari isteriku Ustazah Noraini, kedua dari anak sulungku Alya Syafiqah dan ketiga dari rakan sekampung dan sebayaku, Cikgu Samsuddin Surat yang ketika ini bertugas sebagai guru displin di salah sebuah sekolah menengah di Temerloh. Aku membalas dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengirimkan ucapan selamat hari lahir pada hari ini.

Aku termenung sejenak selepas membalas ucapan dari mereka. Pertama, aku telah berada di garisan zon pertengahan umur. Kedua, selama empat tahun kebelakangan ini aku menerima ucapan selamat hari lahir hanya pesanan melalui sms, email dan yang terbaru melalui FB sejak aku merantau ke Timur Tengah mulai tahun 2008. kekadang aku rasa sedih dan hiba, namun selalunya aku cukup merasa bangga kerana isteri dan anak-anak ku tidah pernah melupakan akan tarikh tersebut. Walaupun kadangkala aku terlupa tarikh lahir anak-anak ku yang seramai empat orang. Untuk isteriku, aku tak pernah melupakannya.

Bukan empat tahun, malah lebih dari itu.  Sebenarnya aku telah mula membuat kerja-kerja luar (outstation) sejak tahun 2004 bermula dengan projek-projek perumahan rakyat di negara-negara Afrika seperti Turki, Senegal, Ghana dan Angola dan juga di negara Asean, Thailand. Sepanjang empat tahun terdahulu aku telah berulang alik ke negara-negara tersebut untuk selama 2 hingga 3 bulan bergantung kepada tempoh visa. Telah banyak negara yang ku lawati sepanjang transit atau "stop over" untuk sampai ke destinasi tersebut.

Berbagai pengalaman telah ku lalui samada yang menarik atau mencemaskan. Pernah disoal siasat selama beberapa jam di lapangan terbang Charles De Gaulle hanya semata-mata memakai safety boot, jaket kerja dan membawa peralatan "tools" semasa dalam penerbangan. Pernah di tahan lokap selama beberapa jam di bandaraya "French Speaking" di Afrika barat kerana mengambil foto "homeless people" yang membina rumah-rumah kotak di kaki lima bangunan. Pernah dikejar oleh wanita-wanita kulit hitam yang berbadan tegap yang menjaja makanan menggunakan dulang di atas kepala dan mengendong dua anak kecil hanya semata-mata mereka merasakan yang aku membawa banyak duit. Pernah membawa dua karung guni duit Cifa (CFA france) melalui pertukaran 500 Euro, lebih banyak notes dari duit Rupiah. Pernah di pau 2,000 USD di lapangan terbang oleh pihak imigresen. Pernah terdampar selama beberapa minggu di Joburg sementara menunggu visa ke Afrika Barat. Terpaksa makan daging yang tidak disembelih di negara "Portugese speaking" yang majoriti penduduknya (96%) beragama Kristian. Pernah hilang laptop di hotel 5 bintang yang sewanya 500 USD semalam. Pernah dikepung dan ditahan selama sehari di rumah pekerja di Bandaraya Bangkok sementara menunggu majikan menyediakan gaji mereka yang hanya tertunggak sehari.




Dan hari ini aku masih lagi bekerja di Saudi Arabia. Saudia dan United Arab Emirates (UAE) amat berbeza dari segi kebudayaan dan cara hidup berbanding dengan negara-negara miskin di Afrika. Terlalu panjang untuk dikesahkan dengan keterbatasan ruang dan waktu di blog ini. Biarlah ianya menjadi kenangan dan pengalaman peribadi yang cukup berharga bagi diriku. Akan tiba masanya nanti aku akan pulang dan meneruskan kehidupan semula di Malaysia, selepas hampir sepuluh tahun aku berada di perantauan. Bila????. Tunggulah masa yang sesuai nanti. 

Monday, 2 May 2011

KHAYALAN DAN KENYATAAN

Hari ini Isnin 2hb Mei 2011, aku mempunyai jadual yang agak padat. Penyerahan rasmi ladang udang F205 seluas 300 hektar dari pihak pembina kepada pengusaha akan dilakukan pagi ini. Tugas aku adalah untuk memastikan supaya kerja-kerja penyerahan ladang mematuhi garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pemilik (stakeholder). Juga untuk memastikan supaya segala bentuk kecacatan kerja telah diperbetulkan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja penyerahan rasmi dilakukan. Kerja yang ringkas tetapi bukan mudah. Penyerahan rasmi hanya akan berlaku setelah aku menandatangani dokumen yang berkaitan.
Seawal 7.30 pagi lagi aku telah bergerak dari pejabat menuju ke kawasan ladang dengan kereta majikan. Fikiranku menerawang jauh ketika sedang memandu di jalan sempit yang lebarnya hanya 20 kaki. Aku sedang memikirkan bentuk rumah yang akan ku bina di atas dua keping tanah kurnia dari kerajaan di kawasan elit di pinggir Putra Height. Disitu nanti tempat untuk aku menghabiskan hari tua bersama keluarga. Tak sangka rupanya, segagap-gagap aku, aku juga pernah berjasa kepada kerajaan. Hanya gelaran Datuk sahaja yang belum aku terima. Namun aku tak memerlukannya. Aku lebih suka dikenali sebagai Tuan Haji Zainal dari Datuk Zainal. Aku tak suka bermuka-muka atau bermegah-megah dengan gelaran dan kemasyhuran dunia. Tuan Haji akan mengingatkan aku kepada hari akhirat.
Aku berangan-angan untuk membina rumah agam yang mempunyai lapan bilik tanpa kolam renang. Entah mengapa aku tidak suka kolam renang. Aku lebih suka kolam ikan dari kolam renang. Aku juga lebih suka pokok pulasan dan sukun dari pokok teduh hujan atau janda kaya yang tidak boleh berbuah. Aku berangan rupanya. Ahh tak mengapa, bukan angan-angan kosong atau seperti angan-angan mat jenin yang bermimpi indah ketika sedang memanjat pokok pinang yang penuh dengan sarang kerengga.
Hampir setengah jam berlalu. Tempat yang ku tuju masih jauh lagi. Aku perlu sampai ke ladang F205 sebelum pukul lapan. Aku tekan pedal minyak dan keretaku melunjur agak laju kehadapan. Ketika sedang berselisih dengan lori tanah di satu selekoh tajam, aku hilang kawalan. Keretaku terhoyong hayang dan terkeluar dari landasan lalu tergelincir di seberang jalan. Keretaku hampir terbalik ke dalam parit  namun perkataan Subhanallah yang ku sebut secara spontan telah menyelamatkan keadaan.

Aku mengucap panjang. Syukur tiada kejadian buruk yang menimpa diriku. Aku termenung sejenak. Apakah kesalahan yang telah ku lakukan. Adakah kerana berangan-angan semasa memandu?. Aku rasa tidak. Aku tidaklah memandu terlalu laju. Atau adakah salah lori tanah yang berselisih tadi? Ohh tidak. Nasihat dari guruku, jangan suka menyalahkan orang lain. Sebaliknya jika ada musibah yang menimpa diri kita, itu adalah kifarah kesalahan di masa lalu samada kita sedar atau tidak. Aku perlu menginsafi diriku sendiri.

Monday, 18 April 2011

Semalam di Salzburg

Mencari arah ke Salzburg
Bersiar di Salzburg
Cantik dan menarik
Pilihan coklat terbaik

Saturday, 16 April 2011

Hari Ini dan Semalam

Langkahku terhenti. Sukar untuk ku gambarkan akan keperitan ini. Perutku berkeroncong maha hebat. Panggilan alam telah tiba. Perutku mintak diisi. Ahhh, aku cuma ada 3 rial sahaja. Tengah bulan. Ya, hari ini 15 hb. Apa harus aku lakukan? Yaa tepat sekali. Dibelakang rumah sewaku terhampar sebatang denai. Denai yang telah cetek airnya akibat cubaan Tuhan. Ku pandang kiri dan kanan, tiada orang. Ahhh selamat, fikirku. Lalu ku hulurkan kakiku. Dingin sekali airnya. Pedulikan. Perutku mintak diisi. Lalu kukutip kepah yang bersepah didasar sungai. Barangkali sudah rezekiku hari ini. Selalunya hanya sekecil ketik, hari ini sebesar gundek. Kepah gergasi melambai-lambai kepada ku. Cukuplah sekadar empat yang kukutip. Yang lain biarkan di dasar sungai. Tak mengapa. Sani masih bergebang di Malaysia. Hanya dia yang doyan kepah. Tetanggaku yang lain hanya doyan ikan terutamanya Zarir dan abang Rifin. Biarkan mereka dengan barakuda dan trevolinya.


Sunyi sepi rumahku. Beginilah hari-hari kehidupanku. Aku sudah lali. Biarkan, pedulikan. Perutku minta diisi. Lalu ku keluarkan isi kepah gergasi. Ku rendam dengan garam sebelum ku cuci dengan air kekuningan. Pedulikan dengan air kuning. Aku tak guna untuk memasak. Aku guna air zamzam untuk memasak. Di sini air zamzam lebih murah dari air yang dirawat. Lalu kurebus dengan sedikit cuka. Kemudian kuhiris dan kupotong kecil-kecil. Ku hiris bawang, ku potong lada, kutumbuk halia dan ku tumis kepingan kepah gergasi. Ahhh sungguh enak baunya. cukup menyelerakan. Rezeki dari Tuhan.


Lauk kepah gergasi telah terhidang. Nafsu perutku meronta-ronta untuk diserakahkan. Opps tunggu dulu. Mindaku teringatkan sesuatu. Majikanku baru dilanda musibah. Empat bulan tiada pendapatan. Aku harus berjimat cermat. Ya betul. Aku ada perkiraan. Lauk yang terhidang akan ku catu. Bukan untuk Mat Ju atau abang Bahrin. Tapi untuk diriku sendiri. Perutku mintak diisi. Cukup untuk bekalanku selama seminggu. Lalu ku senduk nasik dan secubit kepah. Bismillahirrohmannirrohim.......


Alhamdulillah. Rezeki Tuhan. Selama seminggu ini aku dah ada bekalan. Kepah gergasi akan sentiasa dipanaskan. Minggu depan akan kukutip 4 ekor kepah gergasi sehingga genap 4 bulan. Sehingga kantong majikanku pulih semula. Tiba-tiba aku tersedu. Aku merasa sebak yang teramat sangat. Aku teringatkan bapak Mazlan. Adakah bapak Mazlan bersimpati dengan keadaanku yang terpaksa berikat perut disini?

  

Pembukaan Rasmi Blog Tukar Tayar

Assalamualaikum,

Blog Tukar Tayar ini telah secara rasminya dibuka pada 16 April 2011. Tukar Tayar telah dipilih secara persetujuan bersama dengan ahli keluarga untuk mengimbas kembali kenangan semasa tayar kereta MPV sebelah belakang pecah ketika dalam perjalanan dari Segamat ke Temerloh pada bulan Mac yang lepas. Semasa kejadian tersebut, semua ahli keluarga telah menghulurkan bantuan masing-masing sehingga tayar yang pecah telah berjaya ditukar dengan tayar spare dan berjaya meneruskan perjalanan semula sehingga selamat sampai ke Temerloh.

Terima kasih kepada isteri dan anak-anakku yang telah membina blog ini bagi pihak diriku yang berada beribu batu diperantauan. Blog ini adalah blok peribadi untuk berkongsi pandangan dan pengalaman dengan semua pengunjung. Segala ulasan, pandangan dan nasihat dari pengunjung yang sudi menjenguk blog ini adalah dialu-alukan.

Salam dari Zainal Samsi, Jeddah Saudi Arabia