Monday 2 May 2011

KHAYALAN DAN KENYATAAN

Hari ini Isnin 2hb Mei 2011, aku mempunyai jadual yang agak padat. Penyerahan rasmi ladang udang F205 seluas 300 hektar dari pihak pembina kepada pengusaha akan dilakukan pagi ini. Tugas aku adalah untuk memastikan supaya kerja-kerja penyerahan ladang mematuhi garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pemilik (stakeholder). Juga untuk memastikan supaya segala bentuk kecacatan kerja telah diperbetulkan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja penyerahan rasmi dilakukan. Kerja yang ringkas tetapi bukan mudah. Penyerahan rasmi hanya akan berlaku setelah aku menandatangani dokumen yang berkaitan.
Seawal 7.30 pagi lagi aku telah bergerak dari pejabat menuju ke kawasan ladang dengan kereta majikan. Fikiranku menerawang jauh ketika sedang memandu di jalan sempit yang lebarnya hanya 20 kaki. Aku sedang memikirkan bentuk rumah yang akan ku bina di atas dua keping tanah kurnia dari kerajaan di kawasan elit di pinggir Putra Height. Disitu nanti tempat untuk aku menghabiskan hari tua bersama keluarga. Tak sangka rupanya, segagap-gagap aku, aku juga pernah berjasa kepada kerajaan. Hanya gelaran Datuk sahaja yang belum aku terima. Namun aku tak memerlukannya. Aku lebih suka dikenali sebagai Tuan Haji Zainal dari Datuk Zainal. Aku tak suka bermuka-muka atau bermegah-megah dengan gelaran dan kemasyhuran dunia. Tuan Haji akan mengingatkan aku kepada hari akhirat.
Aku berangan-angan untuk membina rumah agam yang mempunyai lapan bilik tanpa kolam renang. Entah mengapa aku tidak suka kolam renang. Aku lebih suka kolam ikan dari kolam renang. Aku juga lebih suka pokok pulasan dan sukun dari pokok teduh hujan atau janda kaya yang tidak boleh berbuah. Aku berangan rupanya. Ahh tak mengapa, bukan angan-angan kosong atau seperti angan-angan mat jenin yang bermimpi indah ketika sedang memanjat pokok pinang yang penuh dengan sarang kerengga.
Hampir setengah jam berlalu. Tempat yang ku tuju masih jauh lagi. Aku perlu sampai ke ladang F205 sebelum pukul lapan. Aku tekan pedal minyak dan keretaku melunjur agak laju kehadapan. Ketika sedang berselisih dengan lori tanah di satu selekoh tajam, aku hilang kawalan. Keretaku terhoyong hayang dan terkeluar dari landasan lalu tergelincir di seberang jalan. Keretaku hampir terbalik ke dalam parit  namun perkataan Subhanallah yang ku sebut secara spontan telah menyelamatkan keadaan.

Aku mengucap panjang. Syukur tiada kejadian buruk yang menimpa diriku. Aku termenung sejenak. Apakah kesalahan yang telah ku lakukan. Adakah kerana berangan-angan semasa memandu?. Aku rasa tidak. Aku tidaklah memandu terlalu laju. Atau adakah salah lori tanah yang berselisih tadi? Ohh tidak. Nasihat dari guruku, jangan suka menyalahkan orang lain. Sebaliknya jika ada musibah yang menimpa diri kita, itu adalah kifarah kesalahan di masa lalu samada kita sedar atau tidak. Aku perlu menginsafi diriku sendiri.

4 comments:

  1. Wah.....ini tulisan kreatif pakcikku yang dah lama tak kubaca. Membaca catatannya , aku teringat dia pernah membantu menuliskan pendahuluan karangan dan isi-isi penting untuk pertandingan menulis esei yang kusertai lewat usiaku 15 tahun. pertolongannya membantuku berjaya meraih tempat ketiga pertandingan menulis esei sek2 daerah Batu Pahat .
    Kalaulah alam fatamorganamu ini menjadi kenyataan, jangan lupa anak saudararamu boleh membantu membina kolam ikan bertingkat yang diidamkan.....

    ReplyDelete
  2. Hahaha...ini komputer Azrin, so nama dia yang keluar...........

    ReplyDelete
  3. Cik Nal dah lupa lah pasal tulisan kreatif tu....

    ReplyDelete
  4. Nanti Cik Nal posting pulak cerita pasal pertandingan menulis esei sekolah ni. Cik nal pun pernah dapat tempat kedua daerah Batu Pahat...

    ReplyDelete