Friday 6 May 2011

Hidup dan Kehidupan

Hidup dan kehidupan. Itulah realiti dan konklusi, bukan ilusi dan imaginasi. Kenapa, mengapa dan untuk apa kita hidup. Bagaimana dan cara mana kehidupan kita? Kenapa kita perlu hidup dan kenapa perlu diteruskan kehidupan kita. Apakah perbezaan antara hidup dan kehidupan. Satu persoalan yang mudah untuk ditafsirkan tetapi amat sukar untuk diterjemahkan.
Cuba kita mencari jawapan secara rambang berkenaan persoalan hidup dan kehidupan.
Norani, seorang guru linguistik dengan bangganya berkata kehidupan adalah penambahan KE dan AN. Abang Ifin pula cepat mencelah “its all about live and life”. Marina seorang peguam lantas menjawab, hidup adalah defendan manakala kehidupan adalah plaintif.  Encik Zarir seorang Akitek pula berkias, hidup ibarat sebuah rumah manakala kehidupan adalah hiasan dalamannya. Manakala Kak Yati seorang pesara kerajaan berkata dengan tenang, kehidupan mesti diteruskan, walaupun sudah bersara. Tuan Nasir seorang akauntan hanya bersuara all the same, sambil menunjuk isyarat LIFO yang bermaksud, Live or Life is financial obligations. Puan Nets seorang usahawan pula menambah, hidup dah selesa tapi kehidupan hari-hari sama sahaja sedangkan belanja harian makin bertambah. Datuk Mazlan, bekas pengarah syarikat senarai awam hanya berkata “No big deal” tanpa memberi penjelasan lanjut.
Mari kita mencari jawapan dari sudut yang berbeza pula.
Nik Azizi akan berkata hidup di dunia ini hanya kesenangan dan permainan belaka, kampong akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya. Mahakader pula bermadah seloka, hidup tanpa kuasa ibarat kehidupan  yang tiada kesudahannya, walaupun kubur dah kata mari, dunia kata pergi. Najeebi pula lantang bersuara, hidup masih tak bahagia tanpa kehidupan yang slim-slim dan cun-cun belaka. Abdillah pula menjelaskan, hidup "zzzzz" dan kehidupan dah sempurna dah dengan seorang anak dan cucunya. Mohideen pula mengeluh, hidup belum bermakna tanpa kehidupan sebagai ketua perdana. Dr Khaer pula merungut dengan nada kesal, hidup mewah hanya sebentar cuma, kehidupan di penjara pula bakal dibina. Manakala Anuar hanya membalas, Tranforefomasi tanpa memberikan sebarang jawapan.
 Setiap individu yang ditemui telah memberikan pandangan yang berbeza. Setiap dari mereka telah memberikan persepsi dan impresi yang menjurus kepada keperluan dan intepretasi diri sendiri. So, now what's up mate?. Usah merasa risau dan tak perlu gundah gulana. Hidup biar sejagat manakala kehidupan adalah destinasi masing-masing.
Bagiku pula hidup dan kehidupan ibarat satu proses yang berterusan. Kita dilahirkan dan dibesarkan untuk hidup dan seterusnya berkerjaya untuk membina sebuah kehidupan. Ada keluarga yang sempurna dan sebuah rumah yang selesa sudah cukup untuk membina sebuah kehidupan, ibarat kitaran sepohon pokok kunyit bermula dengan selembar daun, membawa kepada dua helai, tiga helai dan seterusnya......

Dengan tanah yang subur, baja yang mencukupi dan tempat yang teduh, sepohon kunyit akan membesar dengan dedaunan yang semakin melebar dan hijau berkilau. Semakin tinggi pokok kunyit, ia memerlukan lebih air dan lebih baja. Apa akan terjadi sekiranya keperluannya tidak mencukup?. Ia akan kekuningan ibarat hidup segan, mati dah pasti......

Surah Al-Ankabut, Ayat 64 bermaksud,
"Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan kesenangan dan permainan belaka, dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui"
Seterusnya Surah Al-Qasash, Ayat 77 bermaksud,
"Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan"

Dan Surah Az-Zariyat, Ayat 56 bermaksud,

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahku"
Semuga menjadi pedoman dan renungan kita bersama. Wassalam.
P/S: Nama yang dikiaskan di atas adalah imaginasi penulis semata-mata, tiada berkaitan dengan sesiapa jua adanya.

No comments:

Post a Comment