Friday, 13 May 2011

Kisah Seorang Guru Besar - Part 2

...Dari bahagian pertama
Sebelum menghantar ku pulang ke rumah dengan kereta yang baru di belinya, Cikgu Khamsiah telah singgah di Benteng untuk makan tengahari dengan nasi baryani kukus. Gerai nasi baryani kukus yang terletak di satu kawasan benteng selepas jambatan besar dari Jalan Batu Pahat menghala ke Muar amat terkenal pada masa tersebut. Nasi baryani ini akan dikukus bersama rebusan tulang dan daging dalam satu periuk unik yang memisahkan antara bungkusan nasi dan rebusan tulang. Wap dari rebusan tulang dan daging ini akan meyerap ke dalam bungkusan nasi tadi. Lima belas tahun kemudian resepi nasi baryani kukus ini telah dikomersialkan sebagai nasi baryani gam Batu Pahat (BGBP) yang amat terkenal di sekitar Lembah Kelang.
Dalam perjalanan pulang yang mengambil masa hampir satu jam itu, Cikgu Khamsiah telah berjaya memujuk ku untuk meluahkan segala permasalah yang kuhadapi selama ini. Sememangnya aku telah menjadi pelajar yang paling bermasalah pada awal tahun tersebut. Walaupun cikgu kelas ku, cikgu Zainal panjang telah merujuk kepada guru kaunseling yang baru balik dari melanjutkan pelajaran di UKM dalam bidang kaunseling, cikgu Zaaba masih tidak berjaya untuk membimbing ku. Namun tanpa berputus asa cikgu Zainal panjang telah merujuk ku pula kepada cikgu Khamsiah yang pernah mengajarku ketika di tingkatan dua.
Siapa Cikgu Khamsiah?
Cikgu Khamsiah adalah guru kelas dan guru seni perusahan semasa aku berada di tingkatan dua. Beliau merupakan seorang guru yang amat berdedikasi dan suka kepada kerja-kerja praktikal. Paling tidak dapat ku lupakan ialah apabila dua hasil kerja tanganku iaitu “tembaga tooling” dan rak kasut bertanggam telah dipamirkan sebagai hasil kerja tangan terbaik pada waktu itu dan kekal di tempat pertama untuk beberapa tahun. Dengan corak pengajaran yang lemah lembut, tegas dan berdedikasi telah membuatkan aku sentiasa tertunggu-tunggu setiap projek praktikal yang bakal dibuat. Beliau akan memuji setiap hasil kerja tangan yang bermutu tinggi dan apabila ada hasil kerja tangan yang bermutu rendah beliau akan membuat penjelasan secara terperinci akan sebab musababnya supaya pembetulan yang sewajarnya dapat di lakukan.
Sebagai guru kelas pula, beliau amat mengambil berat terhadap hal ehwal dan kebajikan murid-muridnya. Setiap pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu akan diberi kaunseling secara “in person” darinya. Hasilnya, pencapaian akademik untuk keseluruhan kelas telah meningkat secara mendadak sejak dari peperiksaan penggal pertama lagi. Dengan mempunyai seraut muka yang manis di pandang, beliau menjadi amat popular di kalangan murid dan guru pada masa tersebut. Beliau juga menjadi siulan anak muda kampong di sekitar sekolah dengan statusnya yang masih belum berumah tangga.
Dari hanya merupakan seorang pelajar yang sederhana ketika berada di tingkatan satu, aku menjadi seorang pelajar yang periang dan aktif ketika berada di tingkatan dua dengan dorongan motivasi dari Cikgu Khamsiah, sementelaah lagi aku sememangnya amat meminati seni pertukangan tangan terutamanya dalam kerja pertukangan kayu. Hampir semua kerja tangan yang ku buat melibatkan tanggam, syelek dan cat telah dipamirkan sebagai hasil kerja terbaik untuk menjadi contoh kepada murid-murid yang lain. Minat dan penglibatan ku yang aktif dalam kelas seni perusahan menjadikan aku mendapat lebih perhatian dari Cikgu Khamsiah berbanding dengan murid-murid yang lain.
Selain dari kerja-kerja pertukangan tangan, aku juga aktif dalam kegiatan luar. Penglibatan ku dalam sukan olahraga dan bolasepak telah menjadikan aku popular di kalangan semua pelajar tingkatan dua pada masa tersebut. Walaupun aku sibuk dengan olahraga, pencapaian akademik ku juga tetap memberangsangkan. Aku telah mendapat keputusan tempat pertama dalam kelas pada peperiksaan penggal pertama mengalahkan Hafsah, seorang pelajar popular yang mendapat tempat pertama keseluruhan tingkatan satu pada tahun sebelumnya.
 Dengan perhatian dan motivasi yang berterusan dari cikgu Khamsiah, aku telah berjaya mendapat hadiah pelajar lelaki terbaik keseluruhan tingkatan dua, namun hanya mendapat tempat ke dua pelajar terbaik keseluruhan di belakang Hafsah. Selain daripada itu aku juga telah berjaya menerima beberapa hadiah matapelajaran terbaik termasuk matapelajaran seni perusahan dan juga hadiah murid paling aktif. Aku melangkah dengan cukup bergaya untuk memasuki ke tingkatan 3P1 dengan pencapaian yang cemerlang pada tahun tersebut.
Namun apa yang sebaliknya telah berlaku. Ketika penggal persekolahan tingkatan tiga bermula aku telah berubah sikap. Dari seorang yang periang pada tahun sebelumnya, aku telah menjadi seorang pelajar yang pendiam dan suka menyendiri. Dari seorang yang aktif dalam sukan bolasepak dan olahraga aku telah menjadi seorang pelajar yang pasif. Aku juga hilang tumpuan di kelas. Ketika cikgu sedang mengajar di hadapan aku cuma menghabiskan masa melukis komik. Dalam masa dua bulan pertama, aku telah berjaya menghasilkan tiga buah komik bertajuk Pendekar Mata Satu, Pendekar Selendang Merah dan Pendekar Tangan Hitam, semuanya dengan tajuk utama Pendekar. Yazid Sarkom amat berminat dengan komik-komik hasil garapan tangan ku dan dari situ timbul minat nya dalam bidang seni dan seterusnya menjadi seorang akitek yang berjaya pada masa sekarang.
Aku sudah tidak menepati waktu kedatangan ke sekolah lagi. Aku selalu datang lambat dan akan masuk sekolah selepas sesi pagi bermula dan akan keluar dari kelas sebelum loceng sesi pagi berakhir. Aku juga kerap ponteng kelas. Acap kali aku akan duduk di kantin untuk melukis komik ketika sesi pembelajaran sedang berjalan. Aku juga kerap dibaling dengan pemadam papan hitam oleh cikgu Yusuf ketika berada di makmal Sains Paduan. Cikgu Yusuf tidak pernah cuba mengambil tahu akan masalah peribadi ku kerana dia mempunyai sikap panas baran. Begitu juga sebahagian dari guru guru yang mengajar ku telah kecewa dengan sikapku dan tidak memperdulikan aku lagi. Aku terus tenggelam dalam duniaku sendiri.
Pencapaian akademik ku juga telah jatuh merudum dengan mendadak. Aku hanya mendapat tempat tercorot dalam ujian bulanan pertama dan kedua. Hampir kesemua matapelajaran yang ku ambil hanya mendapat markah kurang dari sepuluh. Dari seorang pelajar yang terkenal aktif pada tahun sebelumnya, aku menjadi pelajar yang cukup bermasalah di tahun berikutnya. Aku juga telah menjadi perbualan dan perhatian dari guru besar dan semua guru dan kakitangan di sekolah tersebut kerana aku menjadi satu satunya pelajar yang mempunyai basikal gondol tanpa sayap depan dan belakang dan mempunyai hadle “drop” yang dipotong pendek. Aku betul-betul tenggelam dalam dunia ciptaanku sendiri.
Namun cikgu Zainal panjang sebagai guru kelas tidak pernah berputus asa untuk membantu ku, cuma pendekatan yang digunakannya tidak menarik perhatianku. Pendekatan yang digunakan oleh cikgu kaunseling juga kurang berjaya. Aku hanya mendengar setiap syarahan dari mereka tanpa jemu tetapi tidak pernah menjawab sepatahpun dalam sesi kaunseling walaupun telah berkali-kali mereka berusaha. Namun mereka tetap terus berusaha, menyedari yang aku merupakan seorang pelajar cemerlang sehingga sebelum aku menghadapi masalah peribadi. Akhirnya cikgu Zainal panjang telah merujuk ku kepada Cikgu Khamsiah walupun cikgu khamsiah tidak lagi mengajar ku di tingkatan tiga pada ketika itu.
Cikgu Khamsiah mempunyai pendekatan yang agak berbeza. Beliau tidak pernah bertanya masalah terlebih dahulu sebagaimana yang dilakukan oleh guru guru lain sebelumnya. Sebaliknya Cikgu Khamsiah pada awalnya cuba mengembalikan minatku dalam seni pertukangan tangan. Namun apabila menyedari yang minatku telah tertutup rapat, beliau tidak terus memaksa malahan mencuba pendekatan yang lain pula.
Pendekatan lain yang dilakukannya ialah dengan menjadi pengkritik yang amat lantang kepada komik-komik lakaran tangan ku. Beliau telah mencampakkan kesemua komik komik tersebut pertama kali ku hulurkan kepadanya. Beliau menjadi seorang yang tegas dan lantang apabila aku cuba bercerita berkenaan minatku dalam lakaran komik padahal dalam perkara lain beliau amat lembut dan penuh dengan sifat keibuan ketika berbicara denganku. Sikap beliau yang amat berbeza ini telah berjaya menjadikan aku mula berfikir semula, kenapa beliau boleh menunjukkan watak yang berbeza-beza terhadapku.
Selepas hampir sebulan cikgu Khamsiah mendekati diri ku, aku mula bersemangat untuk belajar semula. Tumpuan kepada pelajaran timbul semula apabila minatku kepada lakaran komik mula pudar sedikit demi sedikit dengan kritikan lantang dari cikgu Khamsiah.  Namun cikgu Khamsiah tetap tidak pernah bertanya masalahku sepanjang hampir sebulan beliau mendekati ku. Aku rasa itulah pendekatan paling berkesan yang telah dicapainya. Aku mula menumpukan perhatian di kelas disamping membuat semula kerja kerja rumah yang telah ku abaikan selama ini. Aku mula bergaul dengan kawan kawan ku semula dan kembali aktif kepada sukan olahraga.
Dan cikgu Khamsiahlah yang telah menggalakkan aku untuk menyertai peraduan karangan sempena hari dadah sedunia peringkat sekolah sekolah daerah Batu Pahat walaupun pada asalnya telah mendapat tentangan dari guru bahasa melayu itu sendiri. Pada mulanya aku tidak berminat untuk menyertai peraduan tersebut kerana cikgu Khamsiah tidak pernah memberi sebarang cadangan atau pendapat untuk aku membuat karangan, sebaliknya beliau tidak pernah jemu untuk bertanya sama ada aku dah mula mengarang ataupun belum hampir setiap hari dengan lemah lembut dan cukup berhemah. Begitu juga apabila karangan tersebut telah hampir siap, beliau tidak pernah memberi sebarang ulasan walaupun telah membacanya berkali kali. Apa yang aku masih ingat ialah, biarlah karangan tersebut seratus peratus dari hasil buah fikiranku tanpa pengaruh orang lain, katanya.  
Tanpa aku sedari, pendekatan yang dilakukan oleh cikgu khamsiah telah berjaya menjadikan diri ku hampir pulih sepenuhnya hanya dalam masa dua bulan beliau mendekati ku. Pendekatan yang berbeza ini telah menjadikan aku cukup menghormatinya sebagai seorang guru. Hasilnya aku telah menjadi salah sorang pelajar terbaik sekolah setelah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun tersebut bersama-sama dengan Hafsah Ahmad, Yazid Sarkom dan Zolkanine Ibrahim dari kelas 3P1. Begitulah kisah ku dengan cikgu Khamsiah.
Tiba-tiba aku menjadi rindu kepada cikgu Khamsiah, seorang guru yang telah berusaha membantu ku untuk menjadi seorang yang berjaya dalam kerjaya ku sekarang.
TAMAT

Sunday, 8 May 2011

Kisah Seorang Guru Besar

Bahagian Pertama…..
Zainal, guru besar nak jumpa awak teriak cikgu Khamsiah apabila sampai di hadapanku. Bila cikgu, jawabku ringkas. Sekarang jugak jawabnya pantas. Ada apa cikgu. Nanti awak tahulah sendiri, dengan lembut cikgu Khamsiah membalas pertanyaanku. Ku lihat jam di dinding kelas 3P1 menunjuk kan jam 11.35 pagi. Ada apa guru besar nak jumpa ya, gerutuku dengan penuh tanda tanya. Suasana di dalam kelas agak riuh rendah masa tu sementara menunggu cikgu Hamzah yang sepatutnya mengajar mata pelajaran Agama sampai. cikgu Hamzah lulusan BA dari Timur Tengah kerap tidak hadir mengajar disebabkan kesibukkannya sebagai orang politik di Bahagian Solok Gading.
Sekarang ya Zainal, cikgu ada kelas ni, geromal cikgu Khamsiah sambil melangkah keluar kelas 3P1. Yazid Sarkom, rakan sebelah mejaku hanya melanggu sambil memerhati cikgu Khamsiah berjalan keluar. Sulaiman yang duduk di belakangku lantas meluru kepadaku sambil bertanya, kau buat salah ke Nal. Aku hanya mampu menggelengkan kepala.
Ketika itu di awal tahun 80an aku berada di Tingkatan 3P1 di salah sebuah sekolah luar Bandar di BP. Ada dua aliran pada ketika itu iaitu kelas Perusahan (P) dan Pertanian (T). Setiap aliran mempunyai 4 kelas iaitu P1 sehingga P4, begitu juga sebaliknya  bagi aliran Pertanian. Secara puratanya ada lebih kurang 8 kelas dengan anggaran murid seramai 200 orang untuk tingkatan tiga sahaja. Guru kelasku ialah cikgu Zainal, sama nama denganku. Beliau dikenali juga sebagai cikgu Zainal panjang disebabkan oleh ketinggiannya yang melebihi dari orang lain.
Ketika aku sampai di bilik guru besar, beliau sedang bercakap sesuatu dengan dua orang pelajar perempuan. Salah seorang daripadanya memang cukup ku kenali iaitu Arisah rakan kelasku sendiri, manakala yang seorang lagi tidak ku kenal sebab ia dari kelas lain. GB lantas bertanya kepadaku, mengapa awak lambat. Saya baru je tahu cikgu, jawab ku dengan agak terketar-ketar. Awak tu memang macam tu banyak sangat dengan masalah, balas GB tanpa memandangku.
GB meneruskan syarahannya semula kepada dua pelajar perempuan di hadapannya setelah mempersilakan aku duduk di bahagian sisi Arisah. Cikgu cukup berbangga dengan pencapaian kamu berdua. Kamu berdua telah menaikkan nama sekolah kita. Kamu berdua akan menjadi contoh kepada murid-murid lain di sekolah ni. Cikgu akan pastikan gambar kamu menerima hadiah di tampal di papan kenyataan sekolah untuk menjadi dorongan kepada murid-murid yang lain. Dan syarahan seterusnya dengan panjang lebar yang telah aku lupa akan butirannya. Esok kamu kena berpakaian sekolah yang kemas dan sampai ke Pejabat Pendidikan BP sebelum pukul 8 pagi sebab majlis akan bermula pukul 8.30 pagi jelas GB lagi kepada mereka berdua. Macam mana awak pergi esok, tanya GB. Ayah akan hantar, serentak mereka menjawab.
Setelah mereka berdua keluar, aku yang masih tidak faham hujung pangkal terus bertanya kepada GB, apa kesalahan saya cikgu. Ehh awak tak tahu ker, mana surat yang saya bagi semalam, gerutu GB. Aku hanya menjawab yang aku tidak menerima apa-apa surat dari guru besar semalam. Awak ni memang banyak masalah, katanya. Seterusnya GB menjelaskan yang esok adalah hari penyampaian hadiah peraduan karangan sempena hari dadah sedunia peringkat sekolah-sekolah Daerah BP kategori bawah 18 tahun dan 15 tahun. Aku adalah salah seorang pemenang dalam kategori bawah 15 tahun, tegasnya. Isi dah cukup bagus tetapi banyak ejaan awak yang tersilap sambung GB yang merupakan guru bahasa melayu sebelum menjadi guru besar. Kalau tak awak boleh jadi juara. Awak tak pandai nak menaikkan nama sekolah, sambungnya lagi. Aku hanya diam membatu dengan bebelan seterusnya dari GB. Esok macam mana awak pergi, tanya GB semula. Saya akan naik bas dari PR cikgu. Tak boleh, awak kena naik teksi esok, takut tak sampai sebelum pukul 8 pagi. Dalam hatiku berkata, mana nak cari lima ringgit nak bayar tambang teksi esok.
Sebentar lagi akan diumumkan pemenang peraduan karangan sempena hari dadah sedunia peringkat sekolah-sekolah daerah BP bagi kategori bawah 15 tahun, juruacara memulakan ucapan selepas habis ucapan pembukaan dari Pegawai Pendidikan Daerah. Pemenang saguhati pertama ialah Arisah T dari sekolah STMI…….Semua hadirin bertepuk tangan dan seterusnya Arisah naik ke pentas dan menerima sekeping kertas bergulung dan satu sampul surat yang disampaikan oleh Pegawai Daerah BP. Pemenang saguhati kedua ialah  Rafidah K juga dari STMI…dan Rafidah naik ke pentas untuk menerima hadiah yang sama. Arisah dan Rafidah Nampak anggun dengan pakaian seragam sekolah, iaitu baju kurung putih dan kain hijau yang digosok kemas. Sememangnya mereka berdua agak terkenal di sekolah kerana mempunyai paras rupa yang cun dan lawa. Ketika turun dari pentas mereka disambut dengan peluk cium dari kedua ibu bapa masing-masing.
Seterusnya pemenang tempat kedua dengan sijil penghargaan dan wang tunai 50 ringgit dimenangi oleh  Zainal S dari STMI…..dan dewan gegak gempita dengan tepuk tangan hadirin. Aku melangkah ke pentas dengan selamba dok disebabkan masih lagi terngiang-ngiang leteran GB semalam. Ketika turun dari pentas, aku hanya disambut oleh cikgu Khamsiah, tetapi bukan dengan peluk cium seperti yang diterima oleh Arisah dan Rafidah. Cuma jabat tangan dari cikgu Khamsiah. Secara keseluruhan nya tempat pertama, kedua dan ketiga menerima sekeping sijil penghargaan dan wang tunai 80, 50 dan 30 ringgit masing-masing. Empat hadiah saguhati seterusnya menerima sekeping sijil dan wang tunai 10 ringgit yang diberikan dalam satu sampul surat.
Tahniah Zainal, ucapan yang kuterima dari cikgu Khamsiah. Kenapa awak macam tak ceria jer, sambung cikgu Khamsiah lagi. Aku masih lagi membisu. Awak patut bergembira sebab bukan calang-calang orang dari sekolah kita yang jauh dari Bandar untuk mendapat tiga tempat pertama, lebih-lebih awak yang hanya orang kampong. Tengok tadi pemenang pertama dari sekolah SDBL dari Bandar BP. Arisah dan Rafidah yang bapa dia cikgu pun hanya dapat hadiah saguhati aje, sambung cikgu Khamsiah lagi member semangat kepadaku. Kenapa awak tak ceria Zainal, getusnya lagi. Saya tak gembira sebab GB teruk belasah saya semalam cikgu, balasku selamba dok. GB tu memang macam tu, gataaaaal, sambung cikgu Khamsiah lagi.
Macam mana awak datang tadi, tanya cikgu Khamsiah. Abang saya hantar naik motor pinjam cikgu, balas ku. Kesiannya awak. Biar cikgu hantar awak balik dengan kereta, suruh abang awak balik dulu. Pesan kat dia bawa motor tu hati-hati sebab banyak lori balak kat jalan besar tu. Ehh, mana cikgu ada kereta, selalunya cikgu tumpang kereta cikgu gondrong, balasku merujuk kepada cikgu Hashim yang berambut gondrong dan ada iras-iras Herman Tino. Ohh awak tak tahu lagi rupanya, cikgu baru beli kereta Daihatsu Charade second hand, balasnya tersengih. Tapi sebelum tu cikgu nak belanja awak makan dulu. Awak nak makan apa, tanya cikgu Khamsiah dengan senyum simpul. Nampak lawa rupanya cikgu Khamsiah bila senyum simpul macam tu. Saya nak makan mee mandung muar dan sate hj Noor dan sirap bandung, cikgu. Mana ada mee bandung muar kat BP ni…satu lagi sate hj Noor tu cuma ada kat PR jer, cik abang oiiii, balas cikgu Khamsiah sambil mencubit tanganku agak manja.
Seterusnya cikgu Khamsiah memimpin tanganku sambil menuju ke kereta Daihatsu Charade kepunyannya yang di letakkan agak jauh dari bagunan dewan……. 
Bersambung ke bahagian dua….

Saturday, 7 May 2011

Talker or Doer


Apa bendanya tu, dalam bahasa Inggeris pulak. Kalau dalam bahasa malaysia bermaksud Pencakap atau Pembuat. Betul ke, macam janggal jer bunyinya. Pembuat tu kira Okey lah. Tetapi Pencakap ni lain macam sebutannya. Nak kena tanya Cikgu Norani ker, guru lingustik dari Sekolah Bukit Jalil tu? Oklah…take it easy!! Talker or Doer, lagi mudah disebut dalam bahasa Inggeris. Talker senang pulak nak disebut. Doer….nak tergeliat lidah dulu baru boleh sebut dengan betul. Orang Perak lagi susah. Nak sebut Duwe jadi Dok-err. Macam diatur pulak. Bahasa Inggeris susah nak sebut Doer, mana kala dalam Bahasa Malaysia pula agak janggal nak sebut Pencakap. Silap-silap tersebut Pencakar atau Pendakap, hehehe.
Kita buat satu contoh di sini.
Cikgu Noraina dan Cikgu Shahidah berada dalam tangga gaji yang sama. Cikgu Noraina baru sahaja di naikkan pangkat Penolong Kanan minggu lepas dengan tingkat masih mendatar, sementara Cikgu Shahidah pulak baru dinaikkkan tingkat yang lebih tinggi juga pada minggu lepas, tetapi masih kekal sebagai guru biasa. Dengan lain perkataan, skala gaji Cikgu Shahidah lebih tinggi dari Cikgu Noraina walaupun dari segi pentadbiran Cikgu Noraina lebih kanan. Kesimpulannya siapa yang lebih tinggi dari siapa?. Susah nak jawap tu. Lagi susah untuk dijawab jika di buat perbandingan antara Cikgu Noraina dengan Cikgu Aidah lepasan INOGO Universiti. Walaupun baru bergelar Cikgu dua hari yang lepas, beliau berada dalam tangga gaji yang lebih tinggi dari pentadbir. 
Sebagai Penolong Kanan, Cikgu Noraina tentulah secara otomatik akan menjadi Pencakap sementara Cikgu Shahidah kena jadi Pembuat. Padahal selama ini sebelum perubahan tersebut berlaku, Cikgu Shahidah adalah Pencakap sementara Cikgu Noraina pula adalah Pembuat. Sebabnya Cikgu Noraina kurang berpuashati dengan hasil kerja orang lain. Beliau lebih suka membuat kerja sendiri. Lagi pun Cikgu Noraina cukup mahir menggubah bunga dan menghias dewan dengan hasil kerja bombastik yang sukar ditandingi oleh orang lain. Cikgu Shahidah pulak tidak begitu mahir menggubah bunga tetapi amat cekap dalam mengendalikan majlis dari yang kecil hingga sebesar-besar majlis. Boleh ker Cikgu Shahidah menjadi Pembuat kepada Cikgu Noraina setelah perubahan jawatan tersebut?
Kita buat contoh yang lain.
Encik Zainal telah merancang untuk menukar perabot lama dengan perabot baru sejak setahun yang lepas. Beliau telah menyampaikan hasrat tersebut kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya. Walau bagaimanapun sehingga sekarang, perabot baru yang diwar-warkan masih belom ada lagi. Dalam hal ini Encik Zainal adalah seorang Pencakap yang hebat, sebab beliau telah “bercakap” kepada lebih seribu orang. Namun beliau bukanlah seorang Pembuat yang bagus.
Namun Encik Zainal akan menjadi Pembuat yang bagus dalam situasi yang berbeza pula. Apabila mendapat ulasan dari Haji Ariffin “Bila nak update blog?” pada hari Khamis, keesokan harinya Encik Zainal telah berjaya membuat tiga kemasukan (entry) dalam gaya bahasa yang berbeza. Ada gaya keangkuhan, keluhan dan santai. Pulak dahhh, macam sumpah-sumpah pulak, boleh bertukar warna sesuka hati.
Persoalan timbul. Siapa yang patut jadi Pencakap dan siapa pula yang selayaknya jadi Pembuat. Adakah seorang Pencakap yang bagus akan menjadi Pembuat yang hebat atau sebaliknya. Atau seorang Pencakap akan selama-lamanya menjadi Pencakap dan juga sebaliknya.
Ini satu lagi contoh.
Puan Merina adalah seorang peguam dan juga seorang usahawan yang berjaya dan cukup terkenal. Apa yang menariknya, Puan Merina tidak pernah bermula dari bawah. Selepas di terima sebagai peguam di bawah bar (behind the bar), beliau terus menubuhkan syarikat sendiri dan berjaya pula mendapat kontrak besar dalam masa yang singkat. Puan Merina memang pandai bercakap, sentiasa bercakap dan selalu bercakap. Pendek kata beliau akan selalu bercakap di mana-mana, tak kira siang atau malam. Beliau adalah Pencakap yang hebat.
Sebaliknya Puan Merina adalah Pembuat yang lemah. Lesen memandu pun masih tak ada lagi, hehe. Namun beliau tetap berjaya, malah lebih berjaya hanya sebagai Pencakap yang hebat. Kekurangan beliau sebagai Pembuat tidak pernah member kesan kepada kerjayanya.
Secara keseluruhannya Pencakap atau Pembuat akan merangkumi personaliti seperti berikut;
a)      Diri sendiri
b)      Diri sendiri dan keluarga
c)      Diri sendiri dan orang lain
d)      Pekerja dan majikan
e)      Pekerja dan pekerja bawahan
f)       Pekerja bawahan dan pekerja-pekerja bawahan
Dalam konteks diri sendiri, Pencakap atau Pembuat boleh disesuaikan dalam berbagai keadaan. Kesan yang terbaik apabila kedua-duanya berada dalam keadaan seimbang manakala kesan yang optimum akan dicapai apabila Pembuat lebih banyak dari Pencakap. Dalam keadaan ini kenyataan berikut boleh diadaptasikan, Lebihkan kerja kurangkan bercakap.
Dalam konteks pekerja dan majikan, kesan yang optimum hanya akan dicapai apabila kedua-dua pihak memainkan peranan masing-masing. Pekerja sebagai Pembuat dan majikan sebagai Pencakap.
Yang paling penting jangan sesekali ada kenyataan seperti berikut, dia ni cakap jer lebih, habuk pun tarak, hehehe.
*Talker speaks from his mind, Doers make things happen*
P/S. Artikel ini tidak pernah merujuk mana-mana website untuk mengekalkan idea spontan penulis.
Selamat Malam

Friday, 6 May 2011

Hidup dan Kehidupan

Hidup dan kehidupan. Itulah realiti dan konklusi, bukan ilusi dan imaginasi. Kenapa, mengapa dan untuk apa kita hidup. Bagaimana dan cara mana kehidupan kita? Kenapa kita perlu hidup dan kenapa perlu diteruskan kehidupan kita. Apakah perbezaan antara hidup dan kehidupan. Satu persoalan yang mudah untuk ditafsirkan tetapi amat sukar untuk diterjemahkan.
Cuba kita mencari jawapan secara rambang berkenaan persoalan hidup dan kehidupan.
Norani, seorang guru linguistik dengan bangganya berkata kehidupan adalah penambahan KE dan AN. Abang Ifin pula cepat mencelah “its all about live and life”. Marina seorang peguam lantas menjawab, hidup adalah defendan manakala kehidupan adalah plaintif.  Encik Zarir seorang Akitek pula berkias, hidup ibarat sebuah rumah manakala kehidupan adalah hiasan dalamannya. Manakala Kak Yati seorang pesara kerajaan berkata dengan tenang, kehidupan mesti diteruskan, walaupun sudah bersara. Tuan Nasir seorang akauntan hanya bersuara all the same, sambil menunjuk isyarat LIFO yang bermaksud, Live or Life is financial obligations. Puan Nets seorang usahawan pula menambah, hidup dah selesa tapi kehidupan hari-hari sama sahaja sedangkan belanja harian makin bertambah. Datuk Mazlan, bekas pengarah syarikat senarai awam hanya berkata “No big deal” tanpa memberi penjelasan lanjut.
Mari kita mencari jawapan dari sudut yang berbeza pula.
Nik Azizi akan berkata hidup di dunia ini hanya kesenangan dan permainan belaka, kampong akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya. Mahakader pula bermadah seloka, hidup tanpa kuasa ibarat kehidupan  yang tiada kesudahannya, walaupun kubur dah kata mari, dunia kata pergi. Najeebi pula lantang bersuara, hidup masih tak bahagia tanpa kehidupan yang slim-slim dan cun-cun belaka. Abdillah pula menjelaskan, hidup "zzzzz" dan kehidupan dah sempurna dah dengan seorang anak dan cucunya. Mohideen pula mengeluh, hidup belum bermakna tanpa kehidupan sebagai ketua perdana. Dr Khaer pula merungut dengan nada kesal, hidup mewah hanya sebentar cuma, kehidupan di penjara pula bakal dibina. Manakala Anuar hanya membalas, Tranforefomasi tanpa memberikan sebarang jawapan.
 Setiap individu yang ditemui telah memberikan pandangan yang berbeza. Setiap dari mereka telah memberikan persepsi dan impresi yang menjurus kepada keperluan dan intepretasi diri sendiri. So, now what's up mate?. Usah merasa risau dan tak perlu gundah gulana. Hidup biar sejagat manakala kehidupan adalah destinasi masing-masing.
Bagiku pula hidup dan kehidupan ibarat satu proses yang berterusan. Kita dilahirkan dan dibesarkan untuk hidup dan seterusnya berkerjaya untuk membina sebuah kehidupan. Ada keluarga yang sempurna dan sebuah rumah yang selesa sudah cukup untuk membina sebuah kehidupan, ibarat kitaran sepohon pokok kunyit bermula dengan selembar daun, membawa kepada dua helai, tiga helai dan seterusnya......

Dengan tanah yang subur, baja yang mencukupi dan tempat yang teduh, sepohon kunyit akan membesar dengan dedaunan yang semakin melebar dan hijau berkilau. Semakin tinggi pokok kunyit, ia memerlukan lebih air dan lebih baja. Apa akan terjadi sekiranya keperluannya tidak mencukup?. Ia akan kekuningan ibarat hidup segan, mati dah pasti......

Surah Al-Ankabut, Ayat 64 bermaksud,
"Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan kesenangan dan permainan belaka, dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui"
Seterusnya Surah Al-Qasash, Ayat 77 bermaksud,
"Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan"

Dan Surah Az-Zariyat, Ayat 56 bermaksud,

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahku"
Semuga menjadi pedoman dan renungan kita bersama. Wassalam.
P/S: Nama yang dikiaskan di atas adalah imaginasi penulis semata-mata, tiada berkaitan dengan sesiapa jua adanya.

Dah Lama Aku Bekerja Rupanya......

Januari 2011, maka genaplah dua puluh tahun pengalaman aku sebagai Jurutera Awam (Civil Engineer). Dalam tempoh tersebut aku telah menimba pengalaman bekerja di pejabat Konsultansi, pembinaan dan pengurusan projek dan perrnah bekerja di bawah ketua pelbagai bangsa dan warganegara. Aku pernah bekerja di bawah ketua berbangsa Melayu, Cina, Amerika, British, Syria, Iran, Thailand, Afrika Selatan, Australia dan Jerman. Masing-masing mempunyai stail, gaya dan kepakaran tersendiri. Secara keseluruhannya ketua berbangsa "Mat Salleh" lebih professional, manakala yang susah bekerja adalah ketua berbangsa Arab dan Malaysia. Ketua berbangsa Arab banyak mulut dan suka menyalahkan orang lain manakala ketua berbangsa "Malaysia" banyak prejudis dan agenda peribadi.

Sepanjang sepuluh tahun pertama, aku telah terlibat dalam kerja-kerja Infrastruktur berskala besar seperti Lebuhraya Utara Selatan, LRT Lembah Kelang, Jambatan Kedua penghubung Johor dan Singapapura, Bandaraya Nusa Jaya dan Hospital Sungai Buloh. Manakala dalam masa lima tahun kedua, aku telah berpeluang untuk terlibat dalam pembangunan rumah rakyat (Affordable Housing Program) di beberapa buah negara di Afrika. Sementara lima tahun yang kedua aku berpeluang bekerja di Timur tengah, iaitu di UAE dan Saudi Arabia.

Pejabat Di Saudia Arabia - Sekarang

Projek di Dubai & Abu Dhabi (UAE)

Projek Perumahan di Bangkok, Thailand 

Projek Perumahan di Ankara, Turki

Projek Perumahan di Benfica, Angola

Projek Perumahan Di Dakkar, Senegal

Pejabat Utama di The Mines, Seri Kembangan

Thursday, 5 May 2011

Aku Dah Tua Rupanya.....

Hari ini Khamis 5 Mei 2011, aku telah berada di pejabat terlebih awal memandangkan hari Khamis merupakan separuh hari bekerja. Selalunya dalam masa lima belas minit pertama aku akan menghalusi senarai semak (checklist) kerja-kerja yang perlu diselesaikan mengikut keutamaan (priority) dan kesegeraan (urgency). Selepas itu aku akan membuka akhbar dalam talian Arab News (Saudi) dan The Star (Malaysia) untuk tempoh 15 minit atau tidak melebihi pukul 8.30 pagi.

Memandangkan hari ini ialah hari ulang tahun kelahiranku yang ke 44, aku meluangkan sedikit masa untuk membaca mesej yang terpapar di FB. Terdapat 3 mesej ucapan hari lahir, pertama dari isteriku Ustazah Noraini, kedua dari anak sulungku Alya Syafiqah dan ketiga dari rakan sekampung dan sebayaku, Cikgu Samsuddin Surat yang ketika ini bertugas sebagai guru displin di salah sebuah sekolah menengah di Temerloh. Aku membalas dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengirimkan ucapan selamat hari lahir pada hari ini.

Aku termenung sejenak selepas membalas ucapan dari mereka. Pertama, aku telah berada di garisan zon pertengahan umur. Kedua, selama empat tahun kebelakangan ini aku menerima ucapan selamat hari lahir hanya pesanan melalui sms, email dan yang terbaru melalui FB sejak aku merantau ke Timur Tengah mulai tahun 2008. kekadang aku rasa sedih dan hiba, namun selalunya aku cukup merasa bangga kerana isteri dan anak-anak ku tidah pernah melupakan akan tarikh tersebut. Walaupun kadangkala aku terlupa tarikh lahir anak-anak ku yang seramai empat orang. Untuk isteriku, aku tak pernah melupakannya.

Bukan empat tahun, malah lebih dari itu.  Sebenarnya aku telah mula membuat kerja-kerja luar (outstation) sejak tahun 2004 bermula dengan projek-projek perumahan rakyat di negara-negara Afrika seperti Turki, Senegal, Ghana dan Angola dan juga di negara Asean, Thailand. Sepanjang empat tahun terdahulu aku telah berulang alik ke negara-negara tersebut untuk selama 2 hingga 3 bulan bergantung kepada tempoh visa. Telah banyak negara yang ku lawati sepanjang transit atau "stop over" untuk sampai ke destinasi tersebut.

Berbagai pengalaman telah ku lalui samada yang menarik atau mencemaskan. Pernah disoal siasat selama beberapa jam di lapangan terbang Charles De Gaulle hanya semata-mata memakai safety boot, jaket kerja dan membawa peralatan "tools" semasa dalam penerbangan. Pernah di tahan lokap selama beberapa jam di bandaraya "French Speaking" di Afrika barat kerana mengambil foto "homeless people" yang membina rumah-rumah kotak di kaki lima bangunan. Pernah dikejar oleh wanita-wanita kulit hitam yang berbadan tegap yang menjaja makanan menggunakan dulang di atas kepala dan mengendong dua anak kecil hanya semata-mata mereka merasakan yang aku membawa banyak duit. Pernah membawa dua karung guni duit Cifa (CFA france) melalui pertukaran 500 Euro, lebih banyak notes dari duit Rupiah. Pernah di pau 2,000 USD di lapangan terbang oleh pihak imigresen. Pernah terdampar selama beberapa minggu di Joburg sementara menunggu visa ke Afrika Barat. Terpaksa makan daging yang tidak disembelih di negara "Portugese speaking" yang majoriti penduduknya (96%) beragama Kristian. Pernah hilang laptop di hotel 5 bintang yang sewanya 500 USD semalam. Pernah dikepung dan ditahan selama sehari di rumah pekerja di Bandaraya Bangkok sementara menunggu majikan menyediakan gaji mereka yang hanya tertunggak sehari.




Dan hari ini aku masih lagi bekerja di Saudi Arabia. Saudia dan United Arab Emirates (UAE) amat berbeza dari segi kebudayaan dan cara hidup berbanding dengan negara-negara miskin di Afrika. Terlalu panjang untuk dikesahkan dengan keterbatasan ruang dan waktu di blog ini. Biarlah ianya menjadi kenangan dan pengalaman peribadi yang cukup berharga bagi diriku. Akan tiba masanya nanti aku akan pulang dan meneruskan kehidupan semula di Malaysia, selepas hampir sepuluh tahun aku berada di perantauan. Bila????. Tunggulah masa yang sesuai nanti. 

Monday, 2 May 2011

KHAYALAN DAN KENYATAAN

Hari ini Isnin 2hb Mei 2011, aku mempunyai jadual yang agak padat. Penyerahan rasmi ladang udang F205 seluas 300 hektar dari pihak pembina kepada pengusaha akan dilakukan pagi ini. Tugas aku adalah untuk memastikan supaya kerja-kerja penyerahan ladang mematuhi garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pemilik (stakeholder). Juga untuk memastikan supaya segala bentuk kecacatan kerja telah diperbetulkan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja penyerahan rasmi dilakukan. Kerja yang ringkas tetapi bukan mudah. Penyerahan rasmi hanya akan berlaku setelah aku menandatangani dokumen yang berkaitan.
Seawal 7.30 pagi lagi aku telah bergerak dari pejabat menuju ke kawasan ladang dengan kereta majikan. Fikiranku menerawang jauh ketika sedang memandu di jalan sempit yang lebarnya hanya 20 kaki. Aku sedang memikirkan bentuk rumah yang akan ku bina di atas dua keping tanah kurnia dari kerajaan di kawasan elit di pinggir Putra Height. Disitu nanti tempat untuk aku menghabiskan hari tua bersama keluarga. Tak sangka rupanya, segagap-gagap aku, aku juga pernah berjasa kepada kerajaan. Hanya gelaran Datuk sahaja yang belum aku terima. Namun aku tak memerlukannya. Aku lebih suka dikenali sebagai Tuan Haji Zainal dari Datuk Zainal. Aku tak suka bermuka-muka atau bermegah-megah dengan gelaran dan kemasyhuran dunia. Tuan Haji akan mengingatkan aku kepada hari akhirat.
Aku berangan-angan untuk membina rumah agam yang mempunyai lapan bilik tanpa kolam renang. Entah mengapa aku tidak suka kolam renang. Aku lebih suka kolam ikan dari kolam renang. Aku juga lebih suka pokok pulasan dan sukun dari pokok teduh hujan atau janda kaya yang tidak boleh berbuah. Aku berangan rupanya. Ahh tak mengapa, bukan angan-angan kosong atau seperti angan-angan mat jenin yang bermimpi indah ketika sedang memanjat pokok pinang yang penuh dengan sarang kerengga.
Hampir setengah jam berlalu. Tempat yang ku tuju masih jauh lagi. Aku perlu sampai ke ladang F205 sebelum pukul lapan. Aku tekan pedal minyak dan keretaku melunjur agak laju kehadapan. Ketika sedang berselisih dengan lori tanah di satu selekoh tajam, aku hilang kawalan. Keretaku terhoyong hayang dan terkeluar dari landasan lalu tergelincir di seberang jalan. Keretaku hampir terbalik ke dalam parit  namun perkataan Subhanallah yang ku sebut secara spontan telah menyelamatkan keadaan.

Aku mengucap panjang. Syukur tiada kejadian buruk yang menimpa diriku. Aku termenung sejenak. Apakah kesalahan yang telah ku lakukan. Adakah kerana berangan-angan semasa memandu?. Aku rasa tidak. Aku tidaklah memandu terlalu laju. Atau adakah salah lori tanah yang berselisih tadi? Ohh tidak. Nasihat dari guruku, jangan suka menyalahkan orang lain. Sebaliknya jika ada musibah yang menimpa diri kita, itu adalah kifarah kesalahan di masa lalu samada kita sedar atau tidak. Aku perlu menginsafi diriku sendiri.