Friday 13 May 2011

Kisah Seorang Guru Besar - Part 2

...Dari bahagian pertama
Sebelum menghantar ku pulang ke rumah dengan kereta yang baru di belinya, Cikgu Khamsiah telah singgah di Benteng untuk makan tengahari dengan nasi baryani kukus. Gerai nasi baryani kukus yang terletak di satu kawasan benteng selepas jambatan besar dari Jalan Batu Pahat menghala ke Muar amat terkenal pada masa tersebut. Nasi baryani ini akan dikukus bersama rebusan tulang dan daging dalam satu periuk unik yang memisahkan antara bungkusan nasi dan rebusan tulang. Wap dari rebusan tulang dan daging ini akan meyerap ke dalam bungkusan nasi tadi. Lima belas tahun kemudian resepi nasi baryani kukus ini telah dikomersialkan sebagai nasi baryani gam Batu Pahat (BGBP) yang amat terkenal di sekitar Lembah Kelang.
Dalam perjalanan pulang yang mengambil masa hampir satu jam itu, Cikgu Khamsiah telah berjaya memujuk ku untuk meluahkan segala permasalah yang kuhadapi selama ini. Sememangnya aku telah menjadi pelajar yang paling bermasalah pada awal tahun tersebut. Walaupun cikgu kelas ku, cikgu Zainal panjang telah merujuk kepada guru kaunseling yang baru balik dari melanjutkan pelajaran di UKM dalam bidang kaunseling, cikgu Zaaba masih tidak berjaya untuk membimbing ku. Namun tanpa berputus asa cikgu Zainal panjang telah merujuk ku pula kepada cikgu Khamsiah yang pernah mengajarku ketika di tingkatan dua.
Siapa Cikgu Khamsiah?
Cikgu Khamsiah adalah guru kelas dan guru seni perusahan semasa aku berada di tingkatan dua. Beliau merupakan seorang guru yang amat berdedikasi dan suka kepada kerja-kerja praktikal. Paling tidak dapat ku lupakan ialah apabila dua hasil kerja tanganku iaitu “tembaga tooling” dan rak kasut bertanggam telah dipamirkan sebagai hasil kerja tangan terbaik pada waktu itu dan kekal di tempat pertama untuk beberapa tahun. Dengan corak pengajaran yang lemah lembut, tegas dan berdedikasi telah membuatkan aku sentiasa tertunggu-tunggu setiap projek praktikal yang bakal dibuat. Beliau akan memuji setiap hasil kerja tangan yang bermutu tinggi dan apabila ada hasil kerja tangan yang bermutu rendah beliau akan membuat penjelasan secara terperinci akan sebab musababnya supaya pembetulan yang sewajarnya dapat di lakukan.
Sebagai guru kelas pula, beliau amat mengambil berat terhadap hal ehwal dan kebajikan murid-muridnya. Setiap pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu akan diberi kaunseling secara “in person” darinya. Hasilnya, pencapaian akademik untuk keseluruhan kelas telah meningkat secara mendadak sejak dari peperiksaan penggal pertama lagi. Dengan mempunyai seraut muka yang manis di pandang, beliau menjadi amat popular di kalangan murid dan guru pada masa tersebut. Beliau juga menjadi siulan anak muda kampong di sekitar sekolah dengan statusnya yang masih belum berumah tangga.
Dari hanya merupakan seorang pelajar yang sederhana ketika berada di tingkatan satu, aku menjadi seorang pelajar yang periang dan aktif ketika berada di tingkatan dua dengan dorongan motivasi dari Cikgu Khamsiah, sementelaah lagi aku sememangnya amat meminati seni pertukangan tangan terutamanya dalam kerja pertukangan kayu. Hampir semua kerja tangan yang ku buat melibatkan tanggam, syelek dan cat telah dipamirkan sebagai hasil kerja terbaik untuk menjadi contoh kepada murid-murid yang lain. Minat dan penglibatan ku yang aktif dalam kelas seni perusahan menjadikan aku mendapat lebih perhatian dari Cikgu Khamsiah berbanding dengan murid-murid yang lain.
Selain dari kerja-kerja pertukangan tangan, aku juga aktif dalam kegiatan luar. Penglibatan ku dalam sukan olahraga dan bolasepak telah menjadikan aku popular di kalangan semua pelajar tingkatan dua pada masa tersebut. Walaupun aku sibuk dengan olahraga, pencapaian akademik ku juga tetap memberangsangkan. Aku telah mendapat keputusan tempat pertama dalam kelas pada peperiksaan penggal pertama mengalahkan Hafsah, seorang pelajar popular yang mendapat tempat pertama keseluruhan tingkatan satu pada tahun sebelumnya.
 Dengan perhatian dan motivasi yang berterusan dari cikgu Khamsiah, aku telah berjaya mendapat hadiah pelajar lelaki terbaik keseluruhan tingkatan dua, namun hanya mendapat tempat ke dua pelajar terbaik keseluruhan di belakang Hafsah. Selain daripada itu aku juga telah berjaya menerima beberapa hadiah matapelajaran terbaik termasuk matapelajaran seni perusahan dan juga hadiah murid paling aktif. Aku melangkah dengan cukup bergaya untuk memasuki ke tingkatan 3P1 dengan pencapaian yang cemerlang pada tahun tersebut.
Namun apa yang sebaliknya telah berlaku. Ketika penggal persekolahan tingkatan tiga bermula aku telah berubah sikap. Dari seorang yang periang pada tahun sebelumnya, aku telah menjadi seorang pelajar yang pendiam dan suka menyendiri. Dari seorang yang aktif dalam sukan bolasepak dan olahraga aku telah menjadi seorang pelajar yang pasif. Aku juga hilang tumpuan di kelas. Ketika cikgu sedang mengajar di hadapan aku cuma menghabiskan masa melukis komik. Dalam masa dua bulan pertama, aku telah berjaya menghasilkan tiga buah komik bertajuk Pendekar Mata Satu, Pendekar Selendang Merah dan Pendekar Tangan Hitam, semuanya dengan tajuk utama Pendekar. Yazid Sarkom amat berminat dengan komik-komik hasil garapan tangan ku dan dari situ timbul minat nya dalam bidang seni dan seterusnya menjadi seorang akitek yang berjaya pada masa sekarang.
Aku sudah tidak menepati waktu kedatangan ke sekolah lagi. Aku selalu datang lambat dan akan masuk sekolah selepas sesi pagi bermula dan akan keluar dari kelas sebelum loceng sesi pagi berakhir. Aku juga kerap ponteng kelas. Acap kali aku akan duduk di kantin untuk melukis komik ketika sesi pembelajaran sedang berjalan. Aku juga kerap dibaling dengan pemadam papan hitam oleh cikgu Yusuf ketika berada di makmal Sains Paduan. Cikgu Yusuf tidak pernah cuba mengambil tahu akan masalah peribadi ku kerana dia mempunyai sikap panas baran. Begitu juga sebahagian dari guru guru yang mengajar ku telah kecewa dengan sikapku dan tidak memperdulikan aku lagi. Aku terus tenggelam dalam duniaku sendiri.
Pencapaian akademik ku juga telah jatuh merudum dengan mendadak. Aku hanya mendapat tempat tercorot dalam ujian bulanan pertama dan kedua. Hampir kesemua matapelajaran yang ku ambil hanya mendapat markah kurang dari sepuluh. Dari seorang pelajar yang terkenal aktif pada tahun sebelumnya, aku menjadi pelajar yang cukup bermasalah di tahun berikutnya. Aku juga telah menjadi perbualan dan perhatian dari guru besar dan semua guru dan kakitangan di sekolah tersebut kerana aku menjadi satu satunya pelajar yang mempunyai basikal gondol tanpa sayap depan dan belakang dan mempunyai hadle “drop” yang dipotong pendek. Aku betul-betul tenggelam dalam dunia ciptaanku sendiri.
Namun cikgu Zainal panjang sebagai guru kelas tidak pernah berputus asa untuk membantu ku, cuma pendekatan yang digunakannya tidak menarik perhatianku. Pendekatan yang digunakan oleh cikgu kaunseling juga kurang berjaya. Aku hanya mendengar setiap syarahan dari mereka tanpa jemu tetapi tidak pernah menjawab sepatahpun dalam sesi kaunseling walaupun telah berkali-kali mereka berusaha. Namun mereka tetap terus berusaha, menyedari yang aku merupakan seorang pelajar cemerlang sehingga sebelum aku menghadapi masalah peribadi. Akhirnya cikgu Zainal panjang telah merujuk ku kepada Cikgu Khamsiah walupun cikgu khamsiah tidak lagi mengajar ku di tingkatan tiga pada ketika itu.
Cikgu Khamsiah mempunyai pendekatan yang agak berbeza. Beliau tidak pernah bertanya masalah terlebih dahulu sebagaimana yang dilakukan oleh guru guru lain sebelumnya. Sebaliknya Cikgu Khamsiah pada awalnya cuba mengembalikan minatku dalam seni pertukangan tangan. Namun apabila menyedari yang minatku telah tertutup rapat, beliau tidak terus memaksa malahan mencuba pendekatan yang lain pula.
Pendekatan lain yang dilakukannya ialah dengan menjadi pengkritik yang amat lantang kepada komik-komik lakaran tangan ku. Beliau telah mencampakkan kesemua komik komik tersebut pertama kali ku hulurkan kepadanya. Beliau menjadi seorang yang tegas dan lantang apabila aku cuba bercerita berkenaan minatku dalam lakaran komik padahal dalam perkara lain beliau amat lembut dan penuh dengan sifat keibuan ketika berbicara denganku. Sikap beliau yang amat berbeza ini telah berjaya menjadikan aku mula berfikir semula, kenapa beliau boleh menunjukkan watak yang berbeza-beza terhadapku.
Selepas hampir sebulan cikgu Khamsiah mendekati diri ku, aku mula bersemangat untuk belajar semula. Tumpuan kepada pelajaran timbul semula apabila minatku kepada lakaran komik mula pudar sedikit demi sedikit dengan kritikan lantang dari cikgu Khamsiah.  Namun cikgu Khamsiah tetap tidak pernah bertanya masalahku sepanjang hampir sebulan beliau mendekati ku. Aku rasa itulah pendekatan paling berkesan yang telah dicapainya. Aku mula menumpukan perhatian di kelas disamping membuat semula kerja kerja rumah yang telah ku abaikan selama ini. Aku mula bergaul dengan kawan kawan ku semula dan kembali aktif kepada sukan olahraga.
Dan cikgu Khamsiahlah yang telah menggalakkan aku untuk menyertai peraduan karangan sempena hari dadah sedunia peringkat sekolah sekolah daerah Batu Pahat walaupun pada asalnya telah mendapat tentangan dari guru bahasa melayu itu sendiri. Pada mulanya aku tidak berminat untuk menyertai peraduan tersebut kerana cikgu Khamsiah tidak pernah memberi sebarang cadangan atau pendapat untuk aku membuat karangan, sebaliknya beliau tidak pernah jemu untuk bertanya sama ada aku dah mula mengarang ataupun belum hampir setiap hari dengan lemah lembut dan cukup berhemah. Begitu juga apabila karangan tersebut telah hampir siap, beliau tidak pernah memberi sebarang ulasan walaupun telah membacanya berkali kali. Apa yang aku masih ingat ialah, biarlah karangan tersebut seratus peratus dari hasil buah fikiranku tanpa pengaruh orang lain, katanya.  
Tanpa aku sedari, pendekatan yang dilakukan oleh cikgu khamsiah telah berjaya menjadikan diri ku hampir pulih sepenuhnya hanya dalam masa dua bulan beliau mendekati ku. Pendekatan yang berbeza ini telah menjadikan aku cukup menghormatinya sebagai seorang guru. Hasilnya aku telah menjadi salah sorang pelajar terbaik sekolah setelah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun tersebut bersama-sama dengan Hafsah Ahmad, Yazid Sarkom dan Zolkanine Ibrahim dari kelas 3P1. Begitulah kisah ku dengan cikgu Khamsiah.
Tiba-tiba aku menjadi rindu kepada cikgu Khamsiah, seorang guru yang telah berusaha membantu ku untuk menjadi seorang yang berjaya dalam kerjaya ku sekarang.
TAMAT

No comments:

Post a Comment