Friday 20 May 2011

Umrah Lagi......

Hari in jumaat, 20 Mei 2011 aku berkesempatan sekali lagi untuk mengerjakan umrah di Baitullah Mekah bersama Haji Zuraimi. Umrah kali ini kutujukan kepada arwah bapa mertua Allahyarham Haji Surif bin Sulaiman semuga diberikan keluasan, ketenangan dan cahaya terang benderang di dalam kuburnya, InsyaAllah.

Seperti kebiasaannya, Baitullah pada kali ini juga amat sesak dengan ramai pengunjung  dari seluruh pelusuk dunia terutamanya dari Turki, Pakistan, India, Indonesia dan juga Malaysia. Aku bertolak dari Al-Lith pada pukul 4.45 pagi iaitu sesudah solat subuh dan sampai di tanah haram seawal 7.00 pagi.
Waktu siang pada musim panas di Mekah agak panjang iaitu bermula dari matahari terbit pada pukul 5.40 pagi sehingga matahari terbenam pada pukul 6.55 ptg, sementara waktu subuh pula seawal 4.15 pagi. Waktu Subuh akan menjadi lebih awal apabila musim panas sampai ke kemuncaknya pada bulan Julai/Ogos/September nanti.

Sebelum dan selepas sembahyang Jumaat aku berkesempatan bertemu dengan dua orang rakan yang ku kenali semasa bekerja di Dubai dulu iaitu Saudara Haza Helmy dan Saudara Amran bersama isteri masing-masing. Haza datang mengerjakan Umrah dengan rombongan Andalusia sementara Amran bersama rombongan dari Singapura. Amran adalah rakyat Singapura tetapi telah berkahwin dengan rakyat Malaysia dari Mersing, Johor. Haza adalah jiranku semasa kami tinggal di Gold Souk di Al-Raffa, Dubai dan selalu menjemputku untuk makan masakan Malaysia bila ada masa kelapangan.

Sebelum berangkat pulang semula ke Al-Lith, aku telah menempah bilik Hotel di Mekah selama 3 hari pada 31/5, 1/6 dan 2/6 sebagai persediaan apabila isteri dan anak-anakku berkunjung ke Jeddah selama dua minggu pada cuti sekolah awal bulan Jun nanti. Selain Mekah, kami juga akan berkunjung ke Madinah dari 5 hingga 9 Jun, InsyaAllah. Untuk tujuan itu, aku akan ke Madinah pada 26 Mei nanti untuk menempah hotel yang sesuai selama seminggu untuk keluarga besar kami.
Catatan dari Masjidil Haram, Mekah 20 Mei 2011.

1 comment:

  1. alhamdullillah...semoga Umrah yang di terima Allah...dan di makbulkan doa2...

    ReplyDelete